KEPUTUSAN Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membatalkan empat kejohanan yang akan berlangsung September depan mendapat reaksi positif pemain dan jurulatih.
Badan induk badminton dunia itu terpaksa membatalkan Terbuka Taiwan, Terbuka Korea, Terbuka China dan Terbuka Jepun.
Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mengakui keputusan tersebut adalah yang terbaik bagi memastikan pandemik Covid-19 tidak terus menular.
“Memang kita sudah jangka pembatalan kejohanan-kejohanan akan datang kerana situasi masih belum stabil, jadi ini adalah perkara biasa pada ketika ini.
“Bagaimanapun, situasi saya agak sukar kerana memiliki penaja, namun apa yang paling penting sekarang adalah memastikan kesihatan semua orang terjamin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah Liu Ying, sekiranya BWF meneruskan mana-mana kejohanan selepas ini, dia tidak akan menyertainya selagi keadaan tidak pulih seperti biasa.
Dalam pada itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan berkata, semua pemain perlu menerima keputusan dengan hati terbuka meskipun ada antara mereka sudah bersedia untuk beraksi.
Selain itu, beliau juga sedia menunggu sebarang keputusan berhubung kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang dijangka berlangsung di Aarhus, Denmark Oktober depan.
“Ini satu keputusan yang di luar kemampuan kita, jadi semua perlu akur. Kita perlu menyesuaikan diri dengan situasi sekarang yang tidak dapat dijangka.
“Selepas ini, kita sama-sama nantikan keputusan mengenai penganjuran Piala Thomas dan Uber. Buat masa ini, kita hanya fokus pada kejohanan dalaman bagi membolehkan pemain merasai suasana kejohanan sebenar,” ujarnya. – K! ONLINE