LONDON – Penyerang baharu Chelsea, Timo Werner mengakui pengurus The Blues, Frank Lampard menjadi faktor utama dia menyertai pasukan tersebut.
Meskipun mendapat perhatian beberapa buah kelab ternama Eropah, namun penyerang berusia 24 tahun itu lebih tertarik dengan projek Lampard di Stamford Bridge.
Perpindahan pemain antarabangsa Jerman itu ke Chelsea boleh dikatakan mengejutkan memandangkan dia disebut-sebut akan menyertai Liverpool pada awalnya.
“Ya, memang beliau (Lampard) menjadi faktor utama saya menyertai Chelsea. Kami sudah bercakap mengenai sistem permainan termasuk bagaimana peranan saya di kelab ini.
“Beliau merupakan individu yang sangat bagus kerana dia melihat saya bukan hanya sebagai pemain tetapi sahabat. Jadi, saya sangat gembira untuk berada di sini,” kata Werner.
Pada masa sama, dia bertekad untuk meneruskan legasi The Blues yang sentiasa menjadi pasukan pencabar kejuaraan sejak era Petr Cech, John Terry dan Didier Drogba.
“Perpindahan ini ibarat mimpi menjadi nyata kerana Chelsea adalah sebuah pasukan yang sangat besar. Saya mahu menjadi pemain era baharu pasukan ini dan sedia untuk berikan segala-galanya,” ujarnya. – AGENSI