Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Penduduk di Presint 8 di sini digemparkan dengan kes pecah cermin kereta apabila lima buah kenderaan menjadi mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Seorang mangsa, Syukran Roslan, 28, berkata, dia hanya mengetahui kereta Perodua Myvi miliknya dipecahkan pada bahagian cermin tingkap penumpang hadapan selepas tiba di pejabatnya di Kuala Lumpur.
“Jiran menghubungi saya pukul 8.40 pagi dan memberitahu tingkap cermin kereta dipecahkan dan ketika itu, saya baru selesai solat sunat dhuha.
“Pada mulanya saya agak hairan tidak pernah pula menerima panggilan waktu sebegitu dan selepas dimaklumkan, saya terus memeriksa kumpulan komuniti pada aplikasi WhatsApp dan terlihat gambar kereta saya pecah bahagian cermin tingkap,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Syukran berkata, dia amat kesal dengan kejadian itu kerana terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke kampung di Perak.
Bagaimanapun, dia reda dengan kejadian tersebut dan menganggap ia ujian daripada Allah lebih-lebih lagi berlaku sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha.
“Saya hanya kehilangan duit syiling dan bukan jumlah besar malah tiada barang berharga yang hilang, namun nampaknya ‘melayang’ RM200 hanya untuk menggantikan cermin tingkap yang dipecahkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Mohd. Fadzil Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya mendapati empat buah kereta lain turut menjadi mangsa kes pecah cermin.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mengumpil cermin bahagian penumpang kiri dan membuka bahagian glove box.
“Terdapat empat buah motokar lain yang diumpil sehingga pecah dengan cara sama.
“Pihak polis berjaya kesan cap jari dan akan meneruskan siasatan lanjut untuk menangkap suspek,” katanya. -K! ONLINE