SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya membongkar penjualan senapang dan pistol angin (airsoft) yang telah diubahsuai dan dijual menerusi aplikasi WhatApps kepada orang ramai sejak Februari lalu.
Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki berhubung kesalahan dadah oleh Jabatan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di kawasan Klang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, siasatan lanjut terhadap suspek membawa penahanan kepada pasangan suami isteri bersama enam pucuk pistol dan dua senapang ‘airsoft’ beserta peluru hidup.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu juga dipercayai menerima upah RM1,000 bagi satu senjata api yang diubah suai.
“Siasatan mendapati senjata itu dijual di pasaran tempatan pada harga RM5,000 untuk pistol manakala RM10,000 bagi senapang.
“Kita percaya bekalan senjata ‘airsoft’ dan alat ganti ini diperolehi melalui orang tengah dari negara jiran manakala peluru hidup pula dari dalam negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengesan pembeli dan individu berkaitan kegiatan tersebut.
Ujar Fadzil, hasilnya berjaya menahan
43 individu termasuk empat wanita di seluruh negara berusia lingkungan 18 hingga 57 tahun.
“Berdasarkan pecahan, seramai 18 individu ditahan di Selangor; Perak(5); Kuala Lumpur dan Kedah (4); Johor dan Pahang (3); Negeri Sembilan (2) serta satu masing-masing di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Sabah.
“Kita juga berjaya merampas sepucuk pistol asli; butir peluru hidup (1,355); pistol ‘airsoft’(57);senapang ‘airsoft’(31); bom C4 (10); bom tangan (3) dan dua senjata diubah suai,” katanya.
Beliau menegaskan, setakat ini seramai
16 individu telah di dakwa manakala dua lagi dalam penyediaan kertas siasatan.
“Kesemua yang ditahan di Selangor telah dituduh mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 36; Seksyen 38 dan Seksyen 39 semuanya dibawah Akta Senjata 1960,” katanya. – K! ONLINE