KUALA LUMPUR – Seramai empat warga emas mengalami sesak nafas dalam satu kebakaran melibatkan empat unit kediaman di Flat Mawar, Jalan Loke Yew di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.44 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Sebanyak empat buah jentera bersama 24 orang anggota telah dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah serta BBP Pudu.
“Anggota bertugas kemudiannya mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah di tingkat empat dan sebuah rumah di tingkat lima,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, sewaktu kejadian, terdapat tiga wanita dan seorang lelaki warga emas yang mengalami sesak nafas akibat asap tebal dan diberikan rawatan kecemasan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.
“Api yang marak berjaya dikawal pada pukul 4.14 petang dan berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 5.01 petang.
“Unit Siasatan Kebakaran sedang melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca berlakunya kebakaran,” katanya. – K! ONLINE