Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Polis mengeluarkan 51 kompaun atas kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah Kuala Muda sejak 20 Julai lalu hingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kompaun dikeluarkan hasil pemeriksaan Op Covid secara harian yang dilakukan ke atas kira-kira 500 hingga 600 kawasan tumpuan awam.
“Kawasan yang terlibat antaranya premis peniagaan, terminal pengangkutan, rumah ibadat, tempat riadah dan tapak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, seramai 15 pasukan membabitkan 39 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 18 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas sepanjang tempoh tersebut.
Shamsudin pada masa sama berkata, anggota pemantau akan menjalankan pemeriksaan di tempat penyembelihan dan sekitar kawasan masjid yang telah dikenal pasti sebagai pusat sembelihan dan pengagihan daging korban.
“Kita memohon orang ramai agar mematuhi nasihat dan SOP yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah berhubung ibadah korban,” ujarnya.-K! ONLINE