fbpx

YHM pupuk amalan kelestarian air, tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIN bertanggungjawab menerajui YHM yang berpangkalan di Menara PjH, Putrajaya.

Air merupakan keperluan yang amat penting dan semua kehidupan di muka bumi amat memerlukannya. Namun, mutakhir ini penggunaan air berlebihan dan tidak sepatutnya telah menyebabkan berlakunya pembaziran air.

Berdasarkan laporan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019, secara purata penggunaan domestik air rakyat Malaysia adalah sebanyak 210 liter per kapita sehari. Jumlah itu jelas melangkaui kadar yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 50 hingga 100 liter per kapita sehari.

Selain air, sumber tenaga juga dilihat tidak terlepas daripada mengalami masalah pembaziran. Penggunaan tenaga di Malaysia mengalami peningkatan besar dari tahun ke tahun.

Cakna dengan isu pembaziran air dan tenaga telah mendorong Yayasan Hijau Malaysia (YHM) untuk melaksanakan beberapa program dalam mendidik generasi muda terutamanya agar menjadi pengguna yang bijak.

Ketua Pegawai Eksekutif YHM, Amin Abdullah berkata, YHM ialah satu organisasi tidak berteraskan keuntungan yang ditubuhkan pada tahun 2014 di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada waktu itu yang memfokuskan dasar atau isu berkaitan air dan tenaga.

Bermula tahun ini, YHM berada di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Tegas Amin, dalam memastikan kelestarian air dan tenaga perlu ada satu langkah bagi mendekati dan mendidik golongan muda menjadi pengguna yang bijak.

“Jika kita lihat, kos untuk menghasilkan tenaga dan air bersih kini semakin meningkat. Oleh itu, kita perlu satu pendekatan bagi memastikan rakyat membudayakan penggunaan air dan tenaga dengan sebaiknya tanpa melakukan pembaziran,” katanya kepada Infiniti di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam memberi kefahaman berhubung amalan kelestarian dua sumber tersebut, YHM menyasarkan pelajar sekolah dan universiti sebagai golongan sasaran mereka.

Perubahan sikap dan minda terhadap penggunaan sumber dengan bijak harus ditekankan pada awal usia lagi bagi memastikan mereka menjadikannya sebagai amalan apabila meningkat dewasa.

“Sebagai contoh, bagi penggunaan tenaga elektrik seperti pendingin hawa, suhu ideal adalah sekitar 23 hingga 24 darjah Celsius dengan penggunaan yang sederhana.

“Jika penggunaan sebegini diterapkan, penggunaan tenaga dapat dijimatkan tanpa berlaku pembaziran,” kata Amin.

Selaras di bawah kementerian yang baharu, penekanan YHM bukan sekadar terhadap isu air dan tenaga, malah fokusnya kini bertambah untuk isu alam sekitar dan biodiversiti.

Amin menjelaskan, air, tenaga, alam sekitar dan biodiversiti mempunyai hubungan antara satu sama lain.

“Oleh itu, program yang dilaksanakan oleh YHM kini akan melibatkan kesemua perkara tersebut di bawah teknologi hijau,” katanya.

Dalam pada itu, antara program yang dilaksanakan YHM bagi melahirkan generasi bijak dan celik berhubung penggunaan sumber air dan tenaga termasuklah membangunkan modul teknologi hijau di dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia bermula pada tahun ini.

“Modul ini merangkumi mata pelajaran Sains, Fizik, Kimia dan Biologi. Modul teknologi hijau ini dimasukkan dalam mata pelajaran tersebut.

“Oleh itu soalan-soalan untuk peperiksaan pelajar tingkatan empat dan lima termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan mempunyai elemen teknologi hijau,” kata Amin.

Dalam pada itu, YHM turut bekerjasama dengan pengusaha projek Green Guardian yang bertujuan mendidik kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun tentang pentingnya menerapkan amalan hijau demi masa depan yang lestari.

Green Guardian yang akan beroperasi di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur dilengkapi dengan teknologi canggih dan kesan simulasi bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang mempesona.

Dalam projek itu, kanak-kanak akan mempelajari dan memahami konsep kelestarian melalui kelas interaktif dengan teknologi berasaskan sentuhan dan video.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI