GP Malaysia belum pasti dianjurkan
KERESAHAN terus berlarutan dalam kalangan peminat sukan permotoran negara apabila perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih belum diputuskan sehingga ke saat ini meskipun ada ura-ura Grand Prix (GP) Malaysia dibatalkan ekoran wabak Covid-19.
Bagaimanapun, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, Dorna Sports bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir perlumbaan bagi kalendar 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 1 November nanti.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali dalam satu sidang video kelmarin yang turut berharap GP Malaysia dapat direalisasikan.
Malaysia antara tiga negara selain Argentina dan Thailand yang masih belum ditentukan statusnya selepas kalendar 2020 dipinda susulan pandemik Covid-19 pada Mac lalu.
“Itulah yang dirancang oleh Dorna jika Malaysia boleh menganjurkan MotoGP. Saya difahamkan Dorna mahu menjadikan GP Malaysia sebagai pusingan terakhir. Apa yang menariknya jika dapat berlangsung di Malaysia, pasukan kita pula dalam situasi untuk merebut kejuaraan dunia.
“Saya percaya SIC akan buat yang terbaik untuk pastikan Malaysia boleh menganjurkan acara antarabangsa itu,” kata Razlan yang kini berada di Barcelona.
Dalam pada itu, Razlan mengakui agak janggal dan sunyi jika pasukan milik Malaysia itu memenangi gelaran di Sepang tanpa kehadiran penonton.
“Bagi kami, kalau ada penonton lagi bagus sebab kita beraksi di laman sendiri dan mahu menjulang kemenangan di hadapan ribuan penyokong negara. Tetapi kalau tiada penonton macam mana nak buat.
“Apa pun menang tetap menang, sama ada di depan penyokong atau tidak. Kita mungkin tidak merasai atmosfera tersebut. Perkara yang paling utama ketika ini adalah kita mahu yang terbaik untuk pasukan Malaysia,” ujarnya. – K! ONLINE