Oleh IVAN AMIRUL
KOTA MARUDU – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui mati di sebuah kuarters guru sekolah di daerah ini semalam.
Mayat mangsa ditemui oleh orang awam pada pukul 6 pagi yang kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini tinggal bersama saudaranya di Matunggong, Kudat.
“Mangsa dihantar ke kuarters guru berkenaan pada 24 Julai lalu selepas dimarahi ahli keluarga kerana sering bermain permainan dalam telefon bimbitnya.
“Sejak itu, mangsa tinggal bersama bapa saudaranya yang bekerja di sekolah tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Izaan, walaupun telah berpindah, mangsa masih bersikap sama suka bermain permainan dalam telefon bimbit.
Kali terakhir mangsa dilihat adalah pada tengah malam kelmarin.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu bagi proses saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.
Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – K! ONLINE