fbpx

Raja burung, Raja Simurgh kolaborasi Sigma, Kmy Kmo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sigma dan Kmy Kmo.

SIQMA bukanlah suatu nama yang asing dalam kalangan peminat arena hip hop tempatan.

Penyanyi rap, komposer dan penerbit itu mula menceburkan diri dalam arena hip hop tempatan pada tahun 2016.

Dia mula meniti di bibir peminat, apabila Siqma menerbitkan sendiri lagu-lagu ciptaannya yang dikongsikan menerusi laman YouTube sejak 2017.

Memiliki rentak dan gaya tulisan seperti puisi, Siqma banyak cenderung terhadap pengalaman dan perspektifnya dalam menyampaikan mesejnya.

Pada pertengahan 2019, karya-karya ciptaan Siqma berjaya menambat hati peminat hip hop sehingga tular dan mendapat jolokan ‘The New Malique’ oleh peminat.

 Bernaung bawah Universal Music, April lalu Siqma tampil ke arena arus perdana dengan melancarkan dua lagu ciptaannya berjudul Cemas dan Salam 1001 secara serentak.

Lagu Cemas mengambil inspirasi daripada situasi panik yang tercetus dikalangan masyarakat Malaysia ketika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, Siqma cuba menyampaikan mesej untuk kekal tenang semasa menghadapi gelombang pandemik Covid-19.

 

Sigma

 

Lagu Salam 1001 pula ditulis sebagai penghargaan terhadap semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan karier seninya sekarang.

Tidak terhenti dengan dua karya berkenaan, Siqma juga muncul dengan single terbaharu berjudul Raja Simurgh yang turut menampilkan rapper Kmy Kmo, yang sebelum ini popular dengan lagu Zuhud dan Tujuh Nasihat hasil kolaborasinya bersama Luca Sicta, M. Nasir dan Siti Nurhaliza. Raja Simurgh merupakan ciptaan Siqma manakala lirik ditulis bersama Kmy Kmo.

 

Kmy Kmo

 

Mengambil konsep ritma puisi yang mengekalkan ciri kemelayuan bersulam hip hop, lagu ini mengambil inspirasi melodi lagu rakyat Rasa Sayang yang digabungkan dengan rentak hip hop beserta senikata laksana puisi.

 

Penyair sufi

 

 Lagu Raja Simurgh diilhamkan daripada sebuah buku tulisan penyair sufi berbangsa Parsi pada  abad ke-12, Faridu’Din Attar yang berjudul Mantiqu’t-Thair atau dalam bahasa Melayu membawa maksud Musyawarah Burung.

Buku ini berkisar tentang perhimpunan burung dari segenap pelusuk dunia yang berbahas dalam pencarian mencari raja sejati mereka, burung Simurgh. Ini bukanlah pertama kali, buku tulisan Faridu’Din Atta ini menjadi sumber inspirasi pengkarya muzik tempatan.

Sebelum ini, Datuk M. Nasir pernah popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud turut mengangkat subjek ketuhanan yang ditulis dalam buku penyair sufi zaman silam tersebut.

Menjelaskan maksud lagu Raja Simurgh, Siqma berkata:

“Lagu ini lebih menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup atau wujud secara umum seperti tingkah laku dan amalan kita, moral, kesetiaan kita kepada agama dan banyak lagi mengenai diri kita.

“Raja Simurgh ialah peringatan untuk kita selalu bergantung pada diri kita sendiri kerana pada akhirnya, hanya kita sendiri yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Single ini bukan lagu ketuhanan tetapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar”.

Sebagai pendatang baru, Siqma mengakui sangat percayakan keikhlasan sebagai kunci utama untuk tampil sebagai pengkarya yang meyakinkan.

Justeru, dia sangat berharap Raja Simurgh akan membuka mata   pendengar untuk mendalami  setiap  mesej  yang ingin disampaikan.

“Semestinya, saya tidak mahu mensasarkan lagu ini kepada pengikut muzik hip hop saja khususnya. Sebaliknya, saya mahukan lagu ini memberi teladan dan mesra telinga kepada semua pendengar dari pelbagai latar belakang. Saya percaya peminat muzik sudah cukup bijak menilai estetika sesebuah karya itu tanpa mengira genre yang ditampilkan,” jelasnya lagi.

 Single terbitan Universal Music Malaysia ini sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. K!ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI