fbpx

Polis Perak cari 3 individu PUS ingkar arahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZARUDIN

IPOH – Polis Perak kini mengesan tiga individu pesakit di bawah pengawasan (PUS) di negeri ini yang ingkar arahan apabila tidak hadir untuk membuat ujian wabak Koronavirus (Covid-19) kedua pada hari ke-13 berdasarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ketiga-tiga mereka yang pulang dari luar negara itu didapati ingkar arahan selain memberikan maklumat diri seperti nama, nombor telefon dan alamat yang salah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“Pada awalnya kita menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan yang memberitahu lima individu tidak hadir untuk ujian kedua Covid-19 pada hari ke-13 HSO dan kita berjaya mengesan dua daripada mereka.

“Polis Perak kini sedang mengesan tiga individu berkenaan agar wabak Covid-19 ini tidak menjangkiti orang lain dan rantaiannya dapat diputuskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Tambah Razarudin, Polis Perak kini sedang memantau kira-kira 455 PUS setiap hari melalui Isolation Care Center (Isocare) melalui pemeriksaan di rumah, panggilan video, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Katanya, menurut rekod, sejumlah 2,140 PUS yang pulang dari luar negara telah menjalani arahan HSO di Perak sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula.

Sementara itu, Razarudin memberitahu Polis Perak kini telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Ogos nanti.

“Kita telah melakukan persediaan rapi termasuk latihan, latihan dalam perkhidmatan (LDP) dan kursus bagi menghadapi PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Keanggotaan Polis Perak untuk menghadapi PRK ini mencukupi manakala dari segi logistik juga kita telah bersedia,” katanya.

Katanya, polis akan memastikan proses PRK termasuk semasa hari penamaan calon, kempen dan hari pengundian berjalan lancar dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan kerajaan.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Mohd Khusairi mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI