TUMPAT – Seorang penggangur tidak sempat berjoli hasil curi barangan kemas milik bekas kekasihnya bernilai RM55,000 apabila dia ditahan polis di dalam sebuah kereta di Jalan Gajah Mati dekat Kota Bharu semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas tidak sampai 10 jam mencuri pelbagai barangan kemas di rumah wanita berkenaan di Kampung Kulim, Wakaf Bharu pada pukul 1.30 pagi hari yang sama.
Katanya, sewaktu tangkapan dilakukan, suspek dipercayai sedang dalam perancangan untuk melarikan diri ke Johor Bahru.
“Kita mengekori suspek yang memandu kereta Proton Waja dari Wakaf Bharu menuju ke Salor. Bagaimanapun, suspek menukar keretanya itu dengan menaiki kereta jenis Perodua ke Kota Bharu sebelum kita menahannya.
“Penahanan suspek membawa kepada penemuan barangan kemas milik bekas teman wanitanya yang disimpan di dalam almari di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burong dekat sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.
Menurut Ab. Rashid, suspek dipercayai menyelinap masuk ke rumah wanita tersebut sebelum mencuri seutas rantai, gelang tangan, kepingan emas dan kalung jed.
“Kesemua barangan kemas itu dipercayai merupakan tinggalan pusaka nenek wanita tersebut yang kini berada di bawah jagaannya.
“Berdasarkan siasatan, kedua-dua pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lima tahun lalu dan berpisah baru-baru ini selepas berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya.
Jelasnya, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, lelaki itu ditahan reman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan – K! ONLINE