LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui sangat teruja selepas dipilih sebagai Pengurus Tahunan Terbaik Persatuan Pengurus Liga (LMA) susulan kejayaannya menamatkan penantian 30 tahun kelab untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebagai rekod, skuad Liverpool berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara dengan jurang 18 mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City pada saingan EPL musim ini.
“Saya tidak tahu apa yang perlu dikatakan kerana ini merupakan penghargaan tertinggi dan meraih Trofi Alex Ferguson adalah sesuatu yang menakjubkan kerana beliau (Alex Ferguson) sangat saya hormati. Lebih manis, ia adalah hasil undian semua rakan sejawat di England.
“Malah, ramai bekas pengurus Liverpool yang berjaya menjuarai trofi ini seperti Bill Shankly, Bob Paisley, Joe Fagan, Kenny Dalglish, Brendan Rodgers dan saya tidak sangka dapat mengikuti jejak langkah mereka,” kata pengendali kelahiran Jerman itu.
Sementara itu, Ferguson yang merupakan bekas pengurus Manchester United mengakui Klopp adalah pengendali terbaik di EPL ketika ini dan berhak menerima penghargaan tersebut.
“Tahniah diucapkan kepada Jurgen Klopp kerana berjaya menamatkan kemarau gelaran liga Liverpool selama 30 tahun. Anda adalah jurulatih yang luar biasa kerana membantu pasukan Liverpool kekal konsisten sepanjang musim,” katanya. – AGENSI