Oleh SYALMIZI HAMID
SEBERANG PERAI – Polis telah mengenal pasti seorang gadis yang gambar dirinya tular di media sosial hari ini kerana pergi ke sebuah bank di Jalan Ong Yi How, Butterworth di sini sambil mengenakan gelang merah jambu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan pihaknya mendapati gadis berusia 25 tahun itu tamat tempoh kuarantin hari ini.
“Dia yang baru pulang dari Thailand telah menjalani ujian Covid-19 kali pertama pada 15 Julai lalu dan didapati negatif.
“Ujian kali kedua juga telah dijalankan semalam dan keputusannya juga negatif. Dia sepatutnya telah selesai menjalani pemantauan pada hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya berjaya menjejaki gadis terbabit selepas polis melakukan siasatan sejurus gambar itu tular di Facebook.
“Dia yang didapati memakai gelang individu di bawah pengawasan (PUS) Covid-19 telah pergi untuk melakukan urusan di bank, tetapi telah dihalang oleh pengawal keselamatan daripada masuk.
“Dia telah melarikan diri sebelum pihak bank sempat mendapatkan maklumat dirinya. Pihak bank kemudiannya telah meneliti televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan gambar yang memaparkan seorang gadis mengenakan gelang merah jambu yang dikaitkan dengan gelang PUS tular di media sosial.
Seorang pengguna Facebook mendakwa melihat gadis itu sedang beratur di hadapan sebuah bank dan telah merakamkan gambarnya, namun gambar itu tidak jelas. – K! ONLINE