KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) memohon kepada kerajaan untuk memperluaskan pelaksanaan moratorium bersasar dan penyusunan semula bayaran balik pinjaman agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima manfaat secara lebih menyeluruh.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, FMM berterima kasih kepada kerajaan berhubung pengumuman inisiatif berkenaan, yang memberikan individu yang paling terjejas ruang untuk bernafas selain membolehkan PKS mendapatkan kembali momentum perniagaan mereka.
Namun pada masa sama, beliau turut meminta agar proses permohonan penyusunan semula bayaran pinjaman dipermudahkan supaya industri dapat memusatkan waktu dan usaha mereka untuk kembali bangkit.
“Apa yang kami faham, inisiatif ini adalah berdasarkan komitmen bank itu sendiri dan bukannya arahan daripada kerajaan, ini memberikan bank kuasa budi bicara sama ada memberikan kelonggaran yang dinyatakan atau tidak.
“PKS tidak memiliki banyak kuasa rundingan dengan bank mereka, jadi kami berharap proses penstrukturan semula bayaran pinjaman ini akan difasilitasi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.