SHAH ALAM – Dua pengarah syarikat alat penebat bangunan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pecah amanah dengan nilai keseluruhan RM1.64 juta selama setahun bermula 2013.
Kwan Teck Hian, 45, dan Sin Kiong Fatt, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, Teck Hian berdepan empat kesalahan pecah amanah wang tunai berjumlah RM781,300 yang dilakukan di antara 3 Oktober 2013 hingga 10 Mac 2014.
Sementara Kiong Fatt berdepan lima pertuduhan melakukan kesalahan sama dengan nilai RM860,119.98 antara 30 Julai 2013 sehingga 20 Jan 2014.
Perbuatan itu dilakukan mereka di di sebuah bank di Jalan Raja Haroun, Kajang.
Justeru, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘Azmi Yusuf menawarkan jaminan sebanyak RM85,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri ke ibu pejabat SPRM setiap awal bulan.
Bagaimanapun, Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM semasa tempoh siasatan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 September depan. -K! ONLINE