Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR PUTEH – Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas selama 19 jam apabila cucu kesayangan yang tinggal bersama mereka di Kampung Bukit Abal di sini hilang pada petang Isnin lalu.
Bagaimanapun, pasangan warga emas itu menarik nafas lega apabila cucu mereka Muhammad Ammar Uwais Nor Hazoma,4, ditemui selamat berhampiran pintu air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak di sini semalam.
Muhammad Ammar Uwais dikatakan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas mengikut bapa sepupunya yang berusia 34 tahun membeli barangan di sebuah kedai runcit tidak jauh dari rumah pasangan warga emas tersebut pada pukul 6 petang.
Difahamkan, lelaki itu dipercayai mempunyai masalah gangguan mental menetap tinggal di Bachok dan sering bertandang ke rumah mereka.
Nenek kanak-kanak itu, Mek Dah Ibrahim, 64, berkata, sejurus menerima panggilan bahawa cucunya sudah ditemui, dia dan suami
Che Hussain Che Musa, 64, bersama ahli keluarga terus bergegas ke lokasi.
Menurutnya, bagaimanapun, timbul sedikit kekecohan apabila anak saudaranya itu enggan menghentikan motosikal yang ditunganggnya meskipun sudah kerap kali dirayu untuk berbuat demikian.
“Kami terpaksa merempuh motosikal tersebut bagi mengelakkan dia terus melarikan diri.
“Tindakan itu menyebabkan Muhammad Amar Uwais mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Mek Dah memberitahu, anak saudaranya itu kemudian telah bertindak terjun ke dalam sungai berhampiran pintu air itu disebabkan rasa takut.
Katanya, dia kemudian terpaksa menghubungi pihak polis selepas usaha memujuk anak saudaranya itu menemui jalan buntu.
Mengimbas semula detik cemas itu, Mek Dah berkata, dia, suami dan ahli keluarga tidak senang duduk apabila mendapati Muhammad Ammar Uwais tidak pulang ke rumah selepas pukul 7 malam.
Katanya, pelbagai usaha telah digerakkan bagi mengesan kedudukan Muhammad Ammar Uwais dengan meminta bantuan semua sanak saudar dan kenalan rapat.
“Suami turut membuat laporan awal di Balai Polis, Selising pada pukul 9 malam serta memuat naik gambar cucunya itu di laman sosial Facebook untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
“Sebelum kejadian, anak saudara ada datang ke rumah untuk pinjam motosikal dan memberitahu mahu membeli ubat. Ketika itu Muhammad Ammar Uwais sedang bermain di halaman rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, lelaki berkenaan ditahan buat sementara waktu untuk siasatan lanjut. -K! ONLINE