Pandai-pandailah edit (sunting) ya,” tutur ikon dunia penyiaran tanah air, Puan Seri Normala Samsudin saat melabuhkan tirai perbualan dengan wakil media pada sidang akhbar program Ratu Hijabista minggu lalu.
Hampir sejam mendekati beliau, wanita berusia 56 tahun itu berbicara tentang tanggungjawabnya sebagai juri tetap dalam program berkenaan, titipan nasihat dan pesanan buat pengacara muda zaman sekarang serta kemunculan semulanya dalam dunia penyiaran.
Figura yang cukup sinonim dengan jenama Nona TV3 itu turut berkongsi sisi peribadi tentang kehidupannya sebagai isteri kepada bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.
KOSMO!: Apa yang membuatkan anda bersetuju untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap dalam program Ratu Hijabista?
NORMALA SAMSUDIN: Pada usia sekarang, saya berasa terpanggil untuk memberi bimbingan dan didikan kepada para peserta dalam program ini. Boleh dikatakan, peranan saya umpama seorang ibu.
Saya anggap peserta seperti anak. Ketika kali pertama ditawarkan menjadi juri, saya tidak terus bersetuju.
Selepas kali kedua ditawarkan dan berbincang dengan suami yang kemudian memberi lampu hijau, saya pun fikir sudah tiba masanya untuk kembali menyumbang sesuatu kepada industri.
Suami pun banyak beri dukungan supaya saya turun padang berkongsi ilmu dengan pelapis muda.
Adakah anda rindu untuk kembali beraksi terutama sebagai pengacara?
Zaman sekarang sudah ada Facebook dan Instagram, jadi bila-bila masa boleh berhubung dengan peminat.
Saya kembali ke depan kamera bukan sebab rindu tetapi lebih ke arah rasa tanggungjawab untuk mendidik pelapis muda.
Kalau orang tanya sama ada penglibatan sebagai juri dalam program ini adalah titik tolak saya untuk aktif semula dalam bidang pengacaraan, kita tengok dahulu macam mana.
Pada usia dan status sebagai isteri serta ibu sekarang, bukan mudah untuk aktif seperti dahulu. Apa pun, saya perlu dapat kebenaran suami dulu untuk melakukan sesuatu.
Sebagai seorang ikon penyiaran, bagaimana anda melihat perbezaan bidang ini dahulu dan sekarang?
Sejujurnya, ekonomi semakin menguncup dan saya juga sedih dengan apa yang berlaku dalam bidang penyiaran, tidak semeriah dahulu.
Bagaimanapun, bidang penyiaran kewartawanan juga satu perniagaan. Perlu bijak dikendalikan dan kita perlu gembeleng tenaga bersama.
Tambahan pula, zaman media sosial sangat mencabar. Kita perlu bergerak pantas untuk relevan dengan kehendak pasaran.
Apa komen anda apabila ramai pengacara muda sekarang sering dibandingkan dengan pengacara lama yang memiliki banyak pengalaman seperti anda?
Sekarang boleh kata senang untuk berada depan kamera disebabkan kuasa media sosial. Menjadi tular dan selepas itu, mulalah disunting mana-mana pihak.
Menjawab isu perbandingan antara pengacara dahulu dan sekarang, apa yang boleh saya katakan, setiap orang ada kelebihan.
Saya bukan tiba-tiba jadi Normala Samsudin. Semasa mula-mula dahulu, saya banyak juga buat silap. Apa yang perlu dilakukan, sentiasa belajar daripada kesilapan dan bersabar.
Kembali ke dunia pengacaraan, adakah anda sudah bersedia dengan segala kritikan selepas ini?
Kita redah sahaja. Saya bersedia berdepan kritikan asalkan sedar siapa diri kita.
Kritikan perkara biasa cumanya sekarang ini, semuanya senang mengundang percakapan orang terutama bagi wanita bertudung.
Namun saya percaya, kalau Allah boleh maafkan kita, siapa kita untuk terus menghakimi dan tidak memaafkan antara satu sama lain. Kita berdepan dengan realiti, redah dan tawakal dengan apa yang berlaku.
Soalan terakhir, adakah sukar buat anda menjalani kehidupan bergelar isteri kepada golongan kenamaan?
Suami saya sudah lama melepaskan jawatan sebagai menteri. Kalau tidak silap, kali terakhir beliau ahli parlimen ialah pada tahun 2011. Suami seorang yang ringkas dan lebih suka tinggal di kampung. Jadi, saya tiada kesukaran kerana suami sama sahaja seperti orang lain yang sukakan keamanan.