fbpx

Bersediakah kita bayar RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

SUHANA MD. YUSOP PENGARANG BERITA

 

SABTU lalu, daerah Kuching di Sarawak diisytiharkan sebagai zon merah selepas merekodkan sebanyak 41 kes positif Covid-19. Bagaimanapun angka itu menaik kepada 53 semalam. 

Sememangnya ia sesuatu yang membimbangkan apabila jumlah individu positif Covid-19 semakin meningkat. Kelonggaran yang diberikan kerajaan seolah-olah tidak disyukuri sesetengah pihak. 

Malah, dalam tempoh dua minggu ini dilihat semakin ramai yang tidak mengamalkan penjarakan sosial serta tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam terutamanya warga emas dan kanak-kanak.

Perkembangan ini mendorong kerajaan untuk membuat keputusan mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan tumpuan ramai dan sesak. 

Ia termasuk pasar, pasar tani dan pasar raya serta stesen pengangkutan awam seperti transit aliran ringan, transit aliran massa dan bas mulai 1 Ogos ini.

Mereka yang gagal boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Bersediakah kita untuk membayar RM1,000 hanya kerana terlupa memakai pelitup muka.

Memang sebelum ini, pelitup muka dipakai waktu jerebu, namun kini sejak Covid-19 melanda negara, ia adalah benda wajib apabila keluar rumah. 

Walaupun denda ini dikira sangat besar, namun penulis yakin inilah cara mengajar orang ramai untuk sentiasa mengikut prosedur kerana kita belum menang.

Pelbagai reaksi menyokong mahupun sebaliknya timbul berkaitan arahan baru ini. Ramai juga yang meluahkan rasa apabila terpaksa berbelanja lebih untuk pelitup muka. 

Bagaimanapun, kerajaan telah membenarkan penggunaan pelitup muka yang dijahit sendiri, jadi ia bukan alasan sehingga ada gerakan anti-mask pula selepas ini. 

Malah, harga siling pelitup muka juga telah diturunkan sebanyak 30 sen iaitu daripada RM1.50 seunit kepada RM1.20 seunit dan harga borong bahan itu RM1.45 seunit kepada RM1.15 bermula 15 Ogos ini.

Jadi jangan cipta alasan. Jika sekarang anda diberi kebebasan untuk tidak memakai pelitup muka, namun tidak lagi selepas ini. 

Arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka hanyalah pengorbanan kecil, berbanding kita terpaksa duduk di rumah tanpa boleh keluar ke mana-mana berbulan-bulan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula oleh kerajaan. 

Sekiranya kes positif Covid-19 mencecah tiga angka, itulah pilihan yang ada, sudah pasti setiap daripada kita telah merasa seksanya tidak keluar rumah, tiada pendapatan dan perbelanjaan makin meningkat. 

Apa yang pasti, moratorium pasti sukar dilaksanakan lagi jika PKP dilaksanakan buat kali kedua.

Bersediakah kita membayar RM1,000 jika abaikan arahan memakai pelitup muka? Tepuk dada, kalau duit banyak pun tiada guna jika kita adalah salah seorang yang positif Covid-19. 

Jadi, janganlah buat perangai dengan memberi macam-macam alasan. Kealpaan kita boleh bawa padah atau kita bersedia membayar RM1,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI