LONDON – Manchester United dilaporkan sedang menyiapkan dana berjumlah £23 juta (RM125.40 juta) untuk mendapatkan pemain Real Madrid, James Rodriguez.
Laporan menyebut, The Red Devils akan menjadi pasukan pertama memulakan misi untuk mendapatkan bintang Colombia itu jika Real menyenaraikannya di dalam pasaran perpindahan.
Real juga dikatakan telah mengadakan perbincangan bersama ejen pemain berusia 29 tahun itu dan telah mencapai kata putus untuk membenarkannya meninggalkan Santiago Bernabeu.
Rodriguez juga dikhabarkan berminat dengan destinasi baharunya Old Trafford tetapi beberapa kelab dari Perancis dan Itali juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Dia lebih berminat untuk beraksi di England berbanding negara lain,” jelas sumber rapat Rodriguez.
Bintang yang menyinar pada aksi Piala Dunia 2014 itu mempunyai baki kontrak setahun bersama Real dan presiden kelab berkenaan, Florentino Perez terdesak untuk menjualnya pada jendela perpindahan kali ini berbanding berdepan risiko untuk melepaskannya secara percuma pada 2021.
Rodriguez hanya membuat 14 penampilan bersama skuad bimbingan Zinedine Zidane dalam semua kejohanan musim ini dan pada lima aksi terakhir, dia sendiri meminta untuk tidak disenaraikan di dalam pasukan itu.
Selain itu, Real mungkin mampu menyelamatkan dana mereka sebanyak £250,000 (RM1.36 juta) seminggu yang dibayar kepada Rodriguez sekiranya pemain itu berjaya dijual ke kelab lain. – AGENSI