LEGENDA pemain Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menggesa Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor agar bersikap ‘gentleman’ dengan mencari jalan menyelesaikan kemelut hutang sebanyak RM10.6 juta yang didedahkan kelmarin.
Kata Azraai, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah perlu mencontohi sikap dan teladan bekas Presiden KFA, Allahyarham Azizan Abdul Razak yang berjaya menyelesaikan segala hutang persatuan pada era pentadbirannya 10 tahun lalu.
“Pada saya, kemelut yang dialami oleh KFA mempunyai jalan penyelesaian dan tidak sukar seperti yang digambarkan oleh barisan kepimpinan baharu kelmarin.
“Jika mereka ikhlas untuk mentadbir pucuk pimpinan KFA, mereka perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah diberikan dengan menyelesaikan segala hutang yang ada.
“Contoh paling mudah adalah sikap budiman Allahyarham Azizan yang berjaya menyelesaikan kesemua hutang KFA lebih RM5 juta ketika beliau bergelar presiden.
“Menteri Besar mempunyai kuasa tersendiri dan tidak semestinya perlu mengambil duit rakyat, saya yakin banyak syarikat korporat besar yang sudi menaja dan membantu pengurusan selesaikan hutang pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, Allahyarham Azizan merupakan bekas Menteri Besar Kedah dan Presiden KFA pada tahun 2008 hingga 2013 dan dianggap antara watak penting dalam membantu skuad Helang Merah bergelar juara ‘double treble’ pada tahun 2008.
Mengulas lanjut, Azraai mahu KFA hormati kontrak yang telah ditandatangani bersama pemain dan pegawai tanpa sebarang kompromi untuk menurunkan gaji yang dipersetujui sebelum ini.
“Saya rasa kontrak sedia ada perlu dihormati dan tidak boleh dipertikai. Mungkin pemotongan gaji ketika liga tidak berjalan ekoran pandemik Covid-19 boleh diterima tetapi liga akan berlangsung kembali bulan depan dan pemain berhak dibayar gaji penuh,” katanya. – K! ONLINE