Oleh AZIZAN HASHIM
IPOH – Pasukan Perak sudah bersedia menghadapi kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dalam baki saingan Liga Super yang dijangka bermula Ogos ini.
Pasukan The Bos Gaurus mengambil khidmat seorang penjaga gawang import, Yaren Sozer, 23, yang kini ditempatkan bersama pasukan pembangunan, Perak 2.
Sozer dari Melbourne, Australia sudah diturunkan dalam perlawanan menentang Pulau Pinang dan akan dipanggil mewakili Perak jika diperlukan nanti.
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, Sozer diambil sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat Hafizul yang baru menjalani pembedahan lutut.
“Hafizul sudah sembuh dan akan mula berlatih bersama pasukan sedikit masa lagi tetapi saya tidak mahu mengambil sebarang risiko.
“Perak ada penjaga gol simpanan iaitu Khairul Amri Salehuddin dan Nasrullah Aziz.
“Kini kami juga ada Sozer. Jika diperlukan dia akan bermain untuk pasukan Liga Super nanti,” katanya.
Bagaimanapun, jika mahu menurunkan Sozer, The Bos Gaurus terpaksa merehatkan salah seorang awang importnya kerana sudah memiliki kuota import yang lengkap.
Pemain import Perak ketika ini adalah Guilherme De Paula, Thierry Chantha Bin, Antony Paul Golec, Careca dan Leandro Dos Santos. – K! ONLINE