PARIS – Pencemaran udara mengurangkan jangka hayat setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di Bumi sebanyak hampir dua tahun, demikian menurut data disiarkan hari ini.
Dinamakan Indeks Kualiti Udara Kehidupan (AQLI), data tersebut menyatakan bahawa ketika dunia berlumba mencari vaksin bagi mengawal pandemik Covid-19, pencemaran udara akan terus memendekkan usia dan menyebabkan berbilion-bilion penduduk di seluruh dunia menjalani kehidupan tidak sihat.
Indeks berkenaan mengira impak udara tercemar terutamanya daripada pembakaran bahan api fosil terhadap kesihatan manusia.
Menurut AQLI, purata tahap pencemaran udara sejak dua dekad lalu tidak berubah di sebalik pengurangan besar zarah berbahaya di China yang pernah menjadi antara negara paling tercemar di dunia.
Namun begitu, di negara-negara seperti India dan Bangladesh pula, pencemaran udara amat teruk sehingga menyebabkan jangka hayat di sesetengah kawasan berkurangan hampir satu dekad.
Penulis-penulis penyelidikan itu berkata, kualiti udara yang dihirup ramai manusia mencetuskan risiko kesihatan lebih tinggi berbanding Covid-19.
Hampir satu perempat populasi global tinggal di hanya empat negara Asia Selatan yang merupakan antara paling tercemar iaitu Bangladesh, India, Nepal dan Pakistan.
AQLI mendapati jangka hayat populasi tersebut akan lebih pendek lima tahun secara purata selepas terdedah kepada paras pencemaran udara 44 peratus lebih tinggi sekarang berbanding 20 tahun lalu. – AFP