KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) mengumumkan rekod keuntungan selepas
cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM151 juta untuk tempoh separuh tahun pertama
berakhir 30 Jun 2020, prestasi terbaik sejak penyenaraiannya pada 2005.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 62 peratus berbanding RM93.2 juta yang direkodkan bagi
tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan berkenaan antara lain disokong perolehan operasi yang lebih tinggi sebanyak 33.6
peratus kepada RM320.7 juta berbanding RM240 juta tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan
operasi meningkat 3.7 peratus kepada RM127.1 disebabkan kos kakitangan dan teknologi.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pulangan ekuiti tahunan dan
pendapatan sesahamnya, masing-masing pada 39 peratus dan 18.7 sen membolehkan Lembaga
Pengarah mengumumkan dividen interim sebanyak 17 sen.
“Malaysia menunjukkan prestasi baik dalam mengawal Covid-19 dan meskipun ketidakpastian terus
memberi impak kepada ekonomi, kami yakin pakej rangsangan diumumkan kerajaan dapat
membantu pemulihan negara dan mengekalkan daya tahan pasaran.
“Usaha berterusan untuk meningkatkan kerancakan dan kecairan pasaran memberi impak positif
dengan penyertaan runcit yang kukuh dan rekod jumlah dagangan tertinggi dengan 12.5 bilion unit
saham bertukar tangan pada 20 Julai lalu.
“Kemunculan golongan milenium di pasaran juga sangat memberangsangkan, kami telah berusaha
keras untuk menarik golongan ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Menurut Umar, pihaknya akan terus memperkenalkan inisiatif baharu, mengemas kini penawaran
produk dan memperluas saluran rangkaian dan platform dagangan untuk kemudahan generasi
pelabur baharu.