fbpx

Adibah Noor gadai barang kemas demi wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adibah Noor

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Adibah Noor terpaksa menggadaikan barang kemas ekoran tiada tawaran bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Perkara tersebut dikongsi menerusi satu hantaran video berdurasi 3 minit 46 saat dalam akaun Twitternya malam tadi.

Menurut pemilik nama Adibah Noor Mohamed Omar, 49, perkongsian itu untuk memberi gambaran sebenar tentang situasi kewangannya ketika ini ekoran ramai meminta bantuan daripadanya menerusi peti mesejTwitternya sejak tempoh PKP sehingga sekarang.

Katanya, dia tidak malu untuk berkongsi cerita kesusahannya kepada umum termasuklah terpaksa menjual beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian dan aksesori untuk menyara kehidupan.

“Orang seni macam saya yang bekerja di depan kamera memang nampak seperti hidup mewah tetapi hakikatnya semasa PKP lalu, saya langsung tiada tawaran bekerja yang mengakibatkan tidak mempunyai pendapatan sehingga terpaksa menggadaikan emas.

“Bagaimanapun, selepas PKP iaitu PKPP ini, barulah saya dapat tawaran bekerja tetapi bayaran yang diterima tidaklah semewah jika dibandingkan dengan harga sebelum Covid-19 melanda negara,” katanya.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu memberitahu, dia akan menerima apa sahaja tawaran yang diberikan kepadanya buat masa ini asalkan mempunyai pendapatan.

Ujarnya, pengakuan tersebut bukanlah untuk menagih simpati tetapi ingin memaklumkan bahawa kehidupan serta pendapatannya turut terkesan akibat pandemik.

“Sejujurnya, saya minta maaf kepada semua sebab memang tidak dapat membantu mana-mana individu yang memohon bantuan buat masa sekarang kerana saya sendiri baru hendak mula bekerja.

“Saya bukan tidak mahu tolong tetapi saya perlu bantu diri saya sendiri dahulu. Apa pun saya doakan agar Allah SWT murahkan rezeki kita semua,” ujarnya.

Menerusi video tersebut juga, Adibah menyeru rakyat Malaysia untuk kekal patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan bagi mengelak PKP dilaksanakan semula.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada pelakon filem Mukhsin itu. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI