fbpx

Tiada jaminan dapat tunai haji tahun depan – TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiada jaminan buat 31,600 jemaah yang terpaksa menangguhkan ibadah haji pada tahun ini ekoran pandemik Covid-19 untuk layak secara automatik menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun depan.

Pengurus Besar Kanan Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia berikutan pandemik Covid-19 masih lagi melanda dunia termasuk Arab Saudi walaupun kes aktif virus itu di Malaysia semakin menurun.

Katanya, bilangan sebenar jemaah haji Malaysia yang akan dihantar ke Tanah Suci pada tahun depan juga belum dapat ditentukan kerana bergantung kepada perkembangan semasa wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Menurutnya, TH masih memantau keadaan semasa berkaitan penularan pandemik tersebut dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan atau memberi jaminan tentang penghantaran jemaah haji pada tahun depan.

“TH sendiri belum dapat gambaran sebenar mengenai perjalanan ibadah haji yang akan dilaksanakan nanti.

“Sejak awal Mac lalu, TH telah memantau perkembangan penularan Covid-19, namun persiapan haji masih berjalan seperti biasa sebelum kerajaan mengumumkan penangguhan penghantaran jemaah ke Tanah Suci pada tahun ini,” katanya kepada Kosmo!.

 

SYED SALEH

 

Pada 11 Jun lalu, kerajaan mengumumkan penangguhan itu berikutan penularan pandemik Covid-19 masih melanda dunia selain mengambil kira keutamaan kesihatan dan keselamatan umat Islam negara ini.

Untuk rekod, Malaysia diberikan kuota oleh kerajaan Arab Saudi sebanyak 31,600 jemaah yang mewakili satu blok bagi setiap musim haji.

Syed Saleh berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan penghantaran jemaah haji pada tahun depan dibuat.

“Jika Covid-19 masih menular pada tahun depan, sudah semestinya akan ada prosedur operasi standard terutama aspek penjarakan sosial, kedudukan tempat duduk di dalam pesawat, hotel serta sewaktu melakukan tawaf dan saie.

“Melihatkan kepada kemungkinan itu, kami merasakan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang andaian tentang jumlah sebenar jemaah yang akan menjalankan ibadah haji pada tahun depan,” katanya.

Jelasnya, mereka yang telah terpilih pada tahun ini akan diberi keutamaan tetapi terdapat kemungkinan ada dalam kalangan mereka yang tidak akan terpilih ke Tanah Suci tahun depan.

Syed Saleh berkata, mereka yang terpilih melalui proses rayuan pula akan terbatal secara automatik dan perlu membuat permohonan semula.

Mengikut rekod, TH menerima 130,000 rayuan pada tahun ini.

Untuk rekod, kuota rasmi haji rakyat Malaysia pada tahun ini adalah seramai 31,600.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI