fbpx

Rompak hasil laut, dua bot Vietnam bernilai RM2.5 juta ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

KUCHING: Kira-kira dua bot nelayan warganegara Vietnam yang sedang leka merompak hasil laut negara ditahan pada jarak lebih kurang 221 batu nautika, Utara Muara Tebas di sini, pada 24 Julai lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, bot terbabit ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Sri Aman yang sedang melaksanakan Op Naga Timur 1/2019 di sekitar perairan tersebut kira-kira 7.30 pagi.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 20 nelayan termasuk tekong berada di bot berkenaan manakala empat orang pula berada di bot kedua termasuk tekong yang sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram.

“Kesemua nelayan tersebut adalah lelaki warganegara Vietnam yang berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 55 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media APMM di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas), Muara Tebas di sini, hari ini.

Beliau berkata modus operandi bagi bot-bot tersebut adalah dengan mengambil segala hasil laut tidak kira besar atau kecil. Kedua-dua bot tersebut bergerak dengan jarak satu batu antara satu sama lain untuk mempercepat proses mengumpul hasil laut.

“APMM telah menyita kedua-dua bot nelayan, peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan seberat dua tan dan minyak diesel sebanyak 19,000 liter yang dianggarkan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.

Sehubungan itu, kesemua tahanan dibawa masuk ke Komtas dan menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching sebagai langkah berjaga-jaga.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di kawasan perairan negara, yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta atau penjara sehingga dua tahun kepada tekong.

“Manakala kru boleh didenda RM600, 000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan vesel mereka akan dilucutkan hak,” katanya.

“Dalam pada itu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), APMM hanya melaksanakan pengusiran ke atas bot nelayan asing bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu,” katanya sambil menambah, dalam tempoh itu, sebanyak 13 bot nelayan asing telah diusir.

Namun, katanya, bermula 24 Jun, APMM telah diberi kebenaran untuk melaksanakan tangkapan ke atas bot nelayan asing (BNA).

“Setakat hari ini, APMM Sarawak berjaya menahan tujuh bot nelayan asing. Daripada jumlah tersebut, enam bot adalah dari Vietnam dan sebuah lagi disyaki dari Indonesia,” katanya.

Katanya, dalam tempoh itu, seramai 51 nelayan warganegara Vietnam serta lima nelayan warganegara Indonesia ditahan. Jumlah keseluruhan anggaran tangkapan tersebut lebih RM6.7 juta.

Robert menegaskan bahawa APMM akan berusaha sepenuhnya untuk menguatkuasa dan menahan mana-mana bot nelayan asing. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI