Oleh MASTURAH SURADI
KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas diserang gajah liar dalam kejadian di lombong pasir Batu 6, Simpang Perani, Mawai, Kota Tinggi, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Misran Tukijoh, 56, menetap di Batu 12, Kampung Mawai Baru ditemui dalam keadaan terbaring tidak berbaju serta berseluar hitam di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 10.30 pagi membabitkan mangsa seorang lelaki berusia 56 tahun.
Jelasnya, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di lombong berkenaan dipercayai diserang kumpulan kecil gajah.
“Hasil siasatan di tempat kejadian, mangsa telah ditemui dalam keadaan terbaring tidak berbaju serta berseluar hitam dengan kesan lebam pada bahagian badan disyaki telah diserang oleh gajah liar.
“Siasatan juga mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah dan juga kesan seretan gajah terhadap mangsa di tempat kejadian.
“Kenderaan milik mangsa jenis Honda juga didapati telah kemek dibahagian bonet dan pintu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai Mati mengejut dan mayat telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. -K! ONLINE