fbpx

Patah tulang rusuk gara-gara anjing liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

Oleh NOR AINNA HAMZAH

GEMAS – Majlis Daerah Tampin (MDT) digesa mengambil tindakan berhubung masalah anjing liar berkeliaran dan mengancam keselamatan penduduk di Taman Damai, Gemas, di sini.

Penduduk mendakwa masalah berkenaan telah berlanjutan lebih setahun lalu dan mereka sering dikejar anjing liar.

Menurut Kamal Dollah, 50, pada Sabtu minggu lalu, dia terpaksa dikejarkan ke klinik berhampiran akibat sakit dada selepas terjatuh dari basikal gara-gara beberapa ekor anjing liar yang secara tiba-tiba mengejarnya.

“Pada malam kejadian saya ingin pergi ke surau yang terletak di taman bersebelahan.  Sebaik melalui satu lorong, saya terkejut melihat sekumpulan anjing liar yang terus mengejar saya.

“Saya segera mengayuh basikal lebih laju lagi dan terjatuh ketika ingin menyelamatkan diri,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Kamal disahkan patah tulang rusuk.

Ujarnya, walaupun masih tiada lagi kes penduduk cedera digigit anjing liar berkenaan, penduduk sentiasa berada dalam keadaan bimbang kerana sering dikejar anjing liar.

Seorang lagi penduduk, Mohd Noor Dris, 49, juga melahirkan kebimbangan yang sama dan menyatakan secara peribadinya dia sendiri telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak dua kali.

Menurutnya, setiap kali aduan dibuat, PBT ada turun padang ke lokasi, namun, masalah anjing liar berkenaan tidak pernah berakhir.

“Kini, ada penduduk terpaksa membawa kayu ketika berjoging di taman kerana bimbang terserempak dengan anjing liar.  Kalau diikutkan, ada lebih 15 ekor anjing liar di sini dan tentunya kita sebagai penduduk sangat bimbang.

“Oleh itu, kita mohon PBT untuk memantau masalah ini dari masa ke masa dan bukannya hanya bertindak sebaik sahaja aduan dibuat.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Suhaiza Sharudin tidak dapat dihubungi untuk memberikan sebarang komen. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI