fbpx

Kemelut gaji jatuhkan moral Helang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – “Jujurnya, kebanyakan pemain sudah tawar hati untuk berlatih,”

Itu kata-kata salah seorang anggota pasukan Helang Merah ketika ditanya mengenai kemelut yang melanda pasukan termasuk ketiadaan gaji mencecah lima bulan.

Menurut individu berkenaan yang enggan namanya didedahkan, apa yang mendorong para pemain untuk turun menjalani rutin latihan ketika ini hanyalah rayuan jurulatih selain rasa hormat terhadap negeri dan penyokong yang sentiasa ada di belakang mereka.

“Terlalu banyak kekecewaan dipendam ketika Liga Malaysia dijangka bermula tidak lama lagi.

“Moral kami jatuh. Maaf saya katakan tetapi kalau kami ke final, ibaratnya masing-masing sentiasa berada di sisi tetapi ketika berdepan kesukaran begini, jujurnya tiada seorang pun barisan exco Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang datang menerangkan keadaan sebenar kepada pemain dan barisan kejurulatihan secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya rata-rata pemain termasuk pemain import sememangnya memikirkan untuk ‘angkat kaki’ dan meninggalkan pasukan.

“Tetapi dari satu sudut kami memikirkan semula sama ada langkah tersebut benar-benar dapat menyelesaikan masalah. Jika kami tinggalkan pasukan begitu saja, mungkinkah tunggakan gaji kami ini tidak dibayar?” katanya.

Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor semalam mendedahkan hutang lama KFA yang tertunggak ketika ini mencecah RM10.6 juta merangkumi gaji pemain, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyedia tiket pengangkutan pasukan.

Menurut Sanusi, mesyuarat KFA pada 3 Ogos depan bakal menjadi medan buatnya untuk menilai semula komitmen kewangan persatuan selain penetapan tarikh untuk bertemu pemain.

Mengulas mengenai pendedahan itu, anggota pasukan berkenaan mengakui sedikit sebanyak perkara tersebut menambah kegusaran dalam kalangan pemain dan barisan jurulatih.

“Hal ini cukup sensitif buat para pemain. Sudahlah mereka tidak menerima gaji pada hari raya Aidilfitri lalu, kini untuk hari raya Aidiladha pun belum ada ‘bayang’ gaji.

“Sebelum ini memang ada pemain tak mahu turun berlatih tetapi pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak memainkan peranan merayu sambil memberi contoh akan dirinya yang sanggup meninggalkan keluarga di Singapura untuk kembali ke Kedah walaupun tidak bergaji. Rasa hormat pada negeri, rakan sepasukan, jurulatih dan peminat masih menebal dalam diri pemain,” katanya.  K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN