Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
PELABUHAN KLANG- Empat individu ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, di sini, Sabtu lalu.
Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga nelayan tempatan yang ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika dari
Pelabuhan Utara, kira-kira pukul 12.20 tengah malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka menunda kurang dari 5 batu nautika dari daratan, iaitu menunda di luar kawasan yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga nelayan yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 52 tahun itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Dalam satu lagi operasi APMM Selangor turut menahan seorang nakhoda berusia 59 tahun kerana tidak memiliki sijil kelayakan membawa vesel mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan 11).
Jelas Mohammad Rosli, lelaki tersebut bersama bot penumpangnya ditahan kedudukan 0.2 batu nautika dari timur Pulau Che Mat Zin, kira-kira pukul 7.10 malam.
Kesemua bot dan suspek yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk tindakan lanjut.- K! ONLINE