LIVERPOOL – Penampilan terakhir Leighton Baines bersama Everton berkesudahan dengan kekecewaan selepas The Toffees tewas 1-3 kepada Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park semalam.
Bek kiri veteran berusia 35 tahun itu membuat penampilan ke-420 bersama Everton selepas dimasukkan menggantikan Lucas Digne pada minit ke-70 yang merupakan aksi terakhirnya sebelum bersara daripada sukan bola sepak profesional.
“Sukar saya membuat keputusan selepas 13 tahun menyarung jersi Everton tetapi selepas berbincang dengan keluarga, ini adalah waktu paling sesuai untuk saya menamatkan karier sebagai pemain profesional.
“Satu penghormatan buat saya kerana setelah sekian lama menjadi sebahagian daripada Everton. Saya mahu berterima kasih kepada semua yang selama ini memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Baines menyertai Everton dengan yuran perpindahan £6 juta (RM32.84 juta) pada 2007 selepas enam musim beraksi bersama Wigan Athletics.
Bekas pemain skuad antarabangsa England itu telah menjaringkan 39 gol daripada 420 penampilannya dalam semua kejohanan sepanjang 13 musimnya bersama Everton.
Pemain yang berasal dari Kirkby itu juga dilaporkan menolak tawaran pengurus Everton, Carlo Ancelotti yang mahu menawarkan kontrak lanjutan selama 12 bulan kerana merasakan sudah tiba masanya dia meluangkan masa bersama keluarganya.
Everton tewas pada aksi terakhir EPL apabila membenarkan Bournemouth meledak tiga gol menerusi Joshua King, Dominic Solanke dan Junior Stanislas, manakala jaringan tunggal The Toffees dalam perlawanan itu dijaringkan Moise Kean. – AGENSI