Oleh NORLIDA AKMAR IDROS dan NUR AMALINA AZMAN
LANGKAWI – Cubaan lima lelaki Indonesia untuk menyeludup dadah jenis ganja seberat 230 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM700,000 ke pulau peranginan ini gagal apabila mereka ditahan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di sini Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengesan dua bot pada kedudukan 40 batu nautika barat daya Pulau Rebak Besar bergerak ke perairan Langkawi kira-kira pukul 11.30 malam.
“Bot pemintas APMM yang sedang melaksanakan Op Benteng berjaya menjejaki dua bot kayu tersebut dalam keadaan bergelap pada kedudukan 40.4 batu nautika barat daya Pulau Beras Basah.
“Dua bot itu bagaimanapun melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum mereka dilihat mencampakkan bungkusan besar guni ke dalam laut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua empat bungkusan itu berjaya ditemui semula anggota penguat kuasa APMM.
“Sebuah lagi bot ronda APMM yang mengejar berjaya menahan dua bot tersebut dan pemeriksaan menemui dua lelaki dalam bot pertama dan tiga lelaki bersama dua guni besar di bot kedua,” ujarnya.
Menurut Mohd. Zawawi, hasil pemeriksan enam bungkusan guni itu mengandungi 230 kg ganja yang disyaki mahu diseludup ke Pulau Langkawi.
“Lima suspek merupakan warga Indonesia dan ketika ditemui, mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 57 tahun dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE