fbpx

Sifu Ular Spiderman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Hamizan yang memakai kostum Spiderman beraksi bersama ular sawa Burma albino kesayangannya.

SELEPAS 15 minit siap memakai kostum adi wira pujaan ramai, Spiderman, Mohd. Hamizan Nawai, 43, keluar dari bilik sebelum memasuki sebuah bilik khas yang menempatkan dua ekor ular kesayangannya yang disimpan di dalam ruangan berkaca.

Perlahan-lahan Mohd. Hamizan atau lebih dikenali sebagai Snakemaster atau Sifu Ular dalam kalangan peminat reptilia itu, membuka peti yang mengandungi ular sawa Burma Albino betina berwarna kuning putih.

“Sekiranya mahu memegang ular ini, kita perlu pegang badannya terlebih dahulu agar ular itu dapat merasakan kehadiran kita melalui suhu di tangan.

“Jangan sesekali terus memegang kepalanya kerana ia boleh mendatangkan rasa ancaman kepadanya walaupun ia ular belaan,” katanya ketika ditemui Panorama di rumahnya di Kampar, Perak baru-baru ini.

Mohd. Hamizan mengangkat ular berkenaan dan meletakkan di bahu sebelum mengambil seekor lagi ular sawa Burma Hypo jantan yang kedua-duanya mempunyai berat kira-kira lapan kilogram dan berusia empat tahun.

Membelai ular-ular itu dengan penuh kasih sayang, sesekali dia mencium kedua-duanya tanpa rasa takut atau geli memandangkan minat mendalamnya terhadap sang reptilia ini sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Mohd. Hamizan sinonim dengan ular. Mempunyai koleksi 67 ekor ular, dia adalah orang awam pertama di Malaysia yang menganggotai Malaysian Society on Toxinology (Persatuan Toksinologi Malaysia) yang kebanyakannya dianggotai oleh doktor pakar perubatan di seluruh negara.

 

Mohd. Hamizan bersama ular normal ball python.

 

Pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mahupun pihak hospital di Semenanjung Malaysia sering merujuknya terutama untuk mengenal pasti spesies ular.

Sering mengadakan pameran ular, Mohd. Hamizan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini telah mula terfikir untuk tampil membuat persembahan dengan memakai kostum Spiderman.

Panorama bertuah dapat menyaksikan demonstrasi penampilannya beraksi dengan ular sambil memakai pakaian Spiderman itu di rumahnya minggu lalu. Mohd. Hamizan telah menimbulkan tanda tanya di Facebooknya baru-baru ini apabila memuat naik satu gambar seseorang berpakaian Spiderman sambil bermain dengan ular walhal itu adalah dirinya.

Pameran

Menjadi rutin mingguannya setiap Sabtu untuk melangsungkan pameran ular untuk tontonan orang ramai di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Katanya, tujuan dia mengadakan pameran tidak lain hanyalah untuk berkongsi ilmu mengenai ular kepada orang ramai selain berkongsi keunikan ular itu sendiri.

“Kebiasaannya saya akan membawa belasan ekor ular yang sesuai untuk dipamerkan di khalayak ramai terutamanya yang cantik, unik dan jarang ditemui seperti cornsnake.

“Saya akan membuat pameran kepada orang ramai di Menara Condong pada setiap malam hari Sabtu bersama seorang atau dua pembantu,” ujarnya.

Ditanya mengenai kostum Spiderman, Mohd. Hamizan berkata, ia bertujuan menarik lebih ramai orang untuk mendekati pameran yang diadakannya terutamanya kanak-kanak yang sukakan adi wira berkenaan.

“Saya memilih untuk membeli kostum Spiderman ini dengan kos lebih RM300. Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa pun turut menyukainya.

“Spiderman juga menampilkan watak yang lincah dan saya fikir agak unik untuk menggabungkan aksi Spiderman bersama ular ini di khalayak ramai,” katanya.

 

SIFU Ular (kanan) turut tampil di kaca televisyen.

 

Bergelar Sifu Ular, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Mohd. Hamizan hakikatnya memang seorang cikgu sekolah. Dia adalah guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning, Kampar.

Bercerita tentang minat memelihara ular ini, bapa tunggal kepada dua anak itu mula mendalami ilmu mengenali dan memelihara ular sejak mula bekerja sebagai guru pada tahun 2005.

“Ketika itu sudah ada pendapatan tetap dan saya menggunakan duit gaji untuk membeli ular pertama iaitu ular sawa darah atau blood python.

“Sejak itu kecintaan saya terhadap ular semakin menebal. Saya mula mendalami ilmu-ilmu berkaitan ular ini dengan lebih serius ketika menjadi guru di Lahad Datu, Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, ular sawa darah berkenaan tidak boleh dibawa ke Semenanjung Malaysia memandangkan ia merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

“Sejak berpindah ke Kampar pada tahun 2015, saya kembali mengumpul dan memelihara pelbagai spesies dan jenis ular termasuk sawa batik, sawa Burma, cornsnake, kingsnake, milksnake, ball python, green tree paradise dan green tree python.

“Kini saya ada dua buah rumah kecil untuk meletakkan 67 ekor ular pelbagai spesies dan kawasan pembiakan makanan ular seperti tikus dan arnab,” katanya.

Bagi Mohd. Hamizan, membela ular sangat senang jika dibandingkan dengan haiwan lain seperti kucing.

“Mengapa membela ular sangat mudah? Ini kerana tabiat ular hanya makan sebulan atau seminggu sekali bergantung spesies masing-masing.

“Ular juga tidak mudah dijangkiti penyakit dan kawasan tempat tinggalnya perlu dibersihkan sekali seminggu,” jelasnya yang mempunyai permit membela dan mempamer ular daripada Perhilitan.

Pengiktirafan

Disebabkan minat yang mendalam mengenai ular, Mohd. Hamizan sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk mendalami ilmu pemeliharaan reptilia itu apabila menyertai pelbagai kursus berkaitan ular di dalam dan luar negara termasuk Thailand dan Indonesia.

 

MOHD. Hamizan yang merupakan cikgu sekolah turut mengadakan pameran ular di sekolah-sekolah.

 

Usahanya mempelajari ilmu ular akhirnya dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak apabila dia sering dipanggil untuk memberi ceramah di sekolah, hospital dan agensi-agensi kerajaan.

“Di Malaysia, terdapat hampir 200 jenis ular yang wujud dengan pecahan kira-kira 160 spesies mendiami Semenanjung Malaysia dan bakinya mempunyai habitat di Sabah dan Sarawak.

“Daripada jumlah itu juga, hanya 32 spesies ular darat yang berbisa wujud di dalam negara ini termasuk tedung dan kapak,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dia kini sedang menyiapkan sebuah buku berkaitan ular-ular di Malaysia secara terperinci yang ditulis di dalam bahasa Melayu.

“Saya juga bercita-cita mahu membuka sebuah zoo mini yang menempatkan pelbagai spesies ular untuk tujuan pameran umum, pendidikan dan kajian.

“Ia mungkin satu impian yang besar, namun saya fikir sangat rugi jika kita tidak membuat sesuatu kerana ular-ular ini merupakan khazanah alam buat kita semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI