DONG NAI, VIETNAM – Polis Vietnam menahan seorang suspek lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian dua pokok orkid hibrid bernilai 750 juta dong (RM138,800) di sini barubaru ini, lapor portal berita Zing News.
Menurut laporan, lelaki tersebut, Nguyen Phi Long, 29, bersama tiga rakan menyewa sebuah kereta untuk bertemu mangsa, Do Trong Huan, 34, di rumahnya untuk membeli pokok orkid.
Polis berkata, Trong Huan pernah menunjukkan dua pokok orkid hibrid kepada kumpulan itu yang berkunjung ke rumah dan ladang orkid mangsa pada akhir bulan lalu.
“Kumpulan ini kemudian kembali pada awal pagi 2 Julai lalu dan memberhentikan kereta mereka kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.
“Suspek memanjat pagar kediaman mangsa dan melarikan dua pokok orkid hibrid yang dianggarkan berharga 750 juta dong,” katanya.
Suspek ditahan selepas polis membuat pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup dan menyoal siasat Phi Long. Suspek didakwa mengaku terlibat dalam kes tersebut.
Polis turut menemui dan merampas kedua-dua pokok orkid yang sudah dipotong menjadi beberapa pucuk kecil. Pihak berkuasa masih memburu tiga rakan Phi Long untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan. – AGENSI