Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
MELAKA – Polis menahan seorang lelaki memandu dalam keadaan melulu dipercayai mabuk sejauh 15 kilometer dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 42 tahun sebelum itu melarikan diri dari satu SJR di Jalan Melaka Sentral kira-kira pukul 12.30 pagi.
“Kira-kira pukul 12.30 pagi, anggota polis bertugas, telah ternampak sebuah kereta yang bergerak dari arah lampu isyarat sebuah pasaraya menuju ke lampu isyarat Melaka Sentral cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Melaka Sentral.
“Beberapa anggota polis kemudian telah mengekori kenderaan suspek yang terus memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki itu kemudian menuju ke arah Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) menuju ke arah Cheng.
Tambahnya semasa sampai di Lebuh AMJ Paya Rumput, suspek telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta lain dan juga melanggar seorang anggota polis yang mengekorinya sehingga menyebabkan kecederaan ringan.
“Suspek meneruskan perjalanan menuju ke rumahnya di Batu 9 1/2 Rembia dan kemudian berjaya ditangkap selepas polis mengejarnya sejauh kira-kira 15 kilometer
“Pemeriksaan awal mendapati suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Afzanizar berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah sebelum ke Hospital Besar Melaka untuk diambil sampel darah bagi ujian kandungan alkohol dan dadah.
habis.