PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah semakin mendapat rentak terbaik bersama pasukan Aspar Team Moto2 selepas mempamerkan peningkatan pada setiap sesi latihan bebas pada Grand Prix (GP) Andalusia di Litar Jerez, Sepanyol semalam.
Pelumba 26 tahun itu yang menamatkan saingan di kedudukan keenam pada GP Sepanyol minggu lalu dilihat terus berkerja keras bagi GP Andalusia selepas menamatkan saingan di tempat ke-18 pada latihan bebas pertama (FP1) dengan catatan 1 minit 42.130s.
Bagi sesi latihan bebas kedua, pelumba kelahiran Ampang itu terus mempamerkan tunggangan menyakinkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 (1’42.531s) sebelum menamatkan FP3 dengan catatan 1’41.771s.
Lebih menarik, Hafizh hanya dibezakan 0.596s dengan pelumba Sepanyol, Jorge Martin (Red Bull KTM Ajo) yang muncul selaku pelumba terpantas dalam sesi latihan bebas tersebut.
“Pada sesi latihan bebas, saya hanya fokus pada perlumbaan dan sudah pasti ia lebih baik berbanding minggu lepas. Saya yakin mampu beri saingan kelompok 10 terbaik nanti.
“Pada sesi latihan pertama ini saya tidak guna tayar baharu sebaliknya guna tayar lama sahaja. Pada FP2 dan FP3, kami guna tayar baharu untuk terus beri saingan. Saya harap dapat kekalkan momentum terbaik ini dan bekerja keras bersama pasukan,” katanya.
Pasukan Moto2 Petronas SRT yang diwakili pelumba Sepanyol, Xavi Vierge dan Jake Dixon (Britain) pula masing-masing menamatkan sesi latihan FP3 di kedudukan ke-18 dan ke-22. – K! ONLINE