LONDON – Seorang anggota penguat kuasa trafik menjadi mangsa serangan terbaharu kerana mengeluarkan notis saman ke atas pemandu kereta yang didapati meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, lapor portal berita Mirror.co.uk.
Menurut laporan, seorang pemilik kenderaan berasa berang dengan saman tersebut dan melemparkan sejenis plaster binaan hingga terkena kepala dan rambut mangsa.
Jurucakap Majlis Swindon Borough berkata, wanita itu adalah anggota ketiga diserang dalam tempoh seminggu dan meminta orang awam supaya menghormati tugas penguat kuasa trafik.
“Kami berasa sedih untuk melaporkan bahawa sepanjang minggu ini, tiga penguat kuasa trafik diserang dengan salah seorang daripada mereka dilempar plaster.
“Kami faham, orang ramai lebih banyak menggunakan kereta pada ketika ini dan memerlukan tempat untuk meletak kenderaan, tetapi itu bukan alasan untuk sesiapa meletakkannya dalam keadaan berbahaya atau membuat serangan,” katanya.
Dia menambah, ramai pengguna kenderaan kini memandu di jalan raya tetapi mempamerkan disiplin pemanduan rendah.
Selain serangan, pihak berkuasa tempatan berdepan masalah dengan lambakan pelancong hingga menyebabkan kehabisan tiket saman walaupun dalam tempoh perintah berkurung berkuat kuasa di sekitar daerah Devon dekat sini. – AGENSI