MFL ambil berat situasi seorang pemain Kuching FA positif Covid-19
STATUS saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan kembali bersambung 26 Ogos depan menjadi tanda tanya selepas seorang pemain daripada kelab Liga Premier, Kuching FA disahkan positif wabak Covid-19 kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pihaknya mengambil berat situasi itu kerana kemungkinan boleh mewujudkan gangguan terhadap penyambungan saingan Liga M.
Justeru, beliau menggesa semua pihak terutama pemain dan pegawai pasukan agar berdisiplin dan memandang serius aspek prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak wujud kluster Liga M.
“Memang MFL risau sebab kita ambil berat berkenaan perkara ini memandangkan kita akan melangsungkan liga tidak lama lagi.
“Saya mahu menasihatkan semua pasukan Liga Super dan Liga Premier agar berhati-hati dan kekalkan disiplin diri mengikuti arahan serta saranan SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Belum ada lagi kluster Liga M, jadi masing-masing ada tugas yang akan dilakukan sama ada dalam dan juga di luar padang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan seorang pemain Kuching FA positif Covid-19 dan diklasifikasikan daripada kluster Hospital Sentosa kerana dia adalah kakitangan hospital berkenaan.
Pada masa sama, Ab. Ghani memuji tindakan Kuching FA mengarahkan pemain dan pegawainya menjalankan kuarantin diri masing-masing di rumah dan seterusnya menjalankan pemeriksaan saringan.
“Kita simpati dengan apa yang berlaku kerana pemain itu tidak menunjukkan simpton-simpton yang menggambarkan dia dijangkiti Covid-19.
“Dia didapati positif ketika membuat saringan di tempat dia bekerja.
“Kita mengharapkan semuanya akan berada dalam keadaan baik. Tidak silap saya ada dua peringkat ujian, selepas tiga hari ada sekali lagi akan dibuat oleh pihak hospital kepada pemain dan pegawai,” jelasnya. – K! ONLINE