ALOR SETAR – Bekas penasihat peribadi dan kewangan kepada usahawan terkenal, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM112,672.
Tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan yang didakwa dilakukannya pada tahun 2014 hingga 2016 itu dibacakan di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.
Abdullah Sani yang memakai baju banduan warna hijau dilihat tenang ketika membuat pengakuan tersebut.
Tertuduh kini menjalani hukuman penjara di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak atas kesalahan pecah amanah berjumlah RM246,600 berkaitan wang sewaan bangunan milik Dr. Rozmey yang dijatuhkan terhadapnya pada September tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Abdullah Sani didakwa melakukan kesalahan melupuskan, menggunakan serta memindahkan wang tersebut ke akaun bank lain yang mana wang itu merupakan hasil daripada aktiviti haram antara 10 September 2014 hingga 31 Ogos 2016.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Teluk Wan Jah di sini dan Hong Leong Bank Berhad, Jalan Langgar di sini.
Pendakwaan bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin setelah tertuduh selesai menjalani hukuman penjara selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin akan disebut semula pada 30 Ogos ini.-K! ONLINE