Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS – Seorang lelaki maut dihempap jentera pembajak ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sakar berhampiran Sungai Tendong di sini hari ini.
Dalam nahas pada pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Rizalman Muhammad Nawawi,42, dikatakan dalam perjalanan pulang bersama sebuah lagi jentera selepas selesai melakukan kerja-kerja membajak kawasan pertanian jagung dan tembikai.
Difahamkan, jentera pembajak yang dipandu Muhammad Rizalman telah terjunam ke dalam tebing anak sungai sebelum kenderaan berat itu menghempapnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Sapawi Setapa berkata, kemalangan itu menyebabkan Muhammad Rizalman meninggal dunia ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Katanya, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.45 tengah hari.
“Sepasukan anggota yang diketuai Komandan Operasi, Pegawai Kanan Bomba II, Zakuan Ismail telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, kami mendapati mangsa bersama jentera pembajak yang dipandunya telah terjunam ke kawasan tebing sungai yang dianggarkan sedalam 10 meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Sapawi memberitahu, bomba terpaksa menggunakan alat pengusung untuk mengeluarkan mangsa dari kawasan tersebut.
Katanya, proses mengangkat mayat mangsa mengambil masa 15 minit ekoran kawasan tebing anak sungai itu curam.
“Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya. K! ONLINE