Oleh MALINDA ABDUL MALIK
AMPANG – Seorang wanita bertindak mengejar dan melanggar motosikal peragut yang melarikan beg galasnya di lampu isyarat susur keluar bulatan Hillview, Hulu Kelang di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.50 pagi itu, mangsa memandu kereta jenis Perodua Axia didatangi dua lelaki menunggang motosikal Yamaha 125Z yang bertindak memecahkan cermin penumpang hadapan sebelum mengambil beg galasnya ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Wangsa Maju bertindak mengejar suspek sehingga ke Jalan AU 2C lalu melanggar motosikal ditunggangi mereka.
“Kedua-dua suspek berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai serta pegawai polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati dua suspek berusia 27 dan 38 tahun itu turut terlibat dalam dua kes samun pada hari yang sama di sekitar Jalan Pandan Indah dan hadapan Hotel Flamingo.
“Kes samun pertama melibatkan seorang pejalan kaki yang kerugian telefon bimbit manakala kedua pula, kes pecah cermin kereta di hadapan hotel.
“Siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kes dadah, pecah rumah dan samun,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE.