Andai anda semua tidak pergi menonton karya saya, Bollywood akan buang saya. Saya tiada pertalian darah dengan nama-nama besar dalam industri jadi tolonglah saya kekalkan kerjaya ini,” ungkapan tersebut diulang siar ribuan peminatnya dalam media sosial sehari selepas Sushant Singh Rajput disahkan maut akibat bunuh diri.
Sushant meninggal dunia lima hari selepas pengurusnya, Disha Salian yang turut membunuh diri dengan terjun dari tingkap bilik tidur di tingkat 14 apartment yang didiaminya.
Aktor berusia 34 tahun itu pula ditemui tergantung di kipas siling rumahnya di Mumbai pada petang Ahad, 14 Jun lalu.
Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai kes bunuh diri namun sehingga kini tiada sebarang nota berhubung tindakan tersebut ditemui.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menemui beberapa surat rawatan yang menunjukkan aktor itu sedang berdepan masalah depresi.
Hal tersebut menimbulkan tanda tanya terutama kepada peminat kerana jika dilihat pada graf kerjayanya, Sushant sedang mengecapi populariti dan kejayaan yang boleh dibanggakan.
Bahkan menurut bapanya, Krishna Kumar Singh, anaknya tidak pernah bercerita sebarang masalah yang dihadapi.
“Saya perasan dia banyak termenung dan baru-baru ini, dia kurang bersemangat tetapi tidak pernah bercerita tentang apa yang mengganggu fikirannya,” ujar Krishna kepada media pada majlis pembakaran mayat Sushant.
Sushant, seorang hero ‘papan atas’ yang sedang mengukir nama. Dia memulakan kerjaya sebagai pelakon drama di stesen televisyen Zee TV sekitar tahun 2010.
Namanya mula menjadi kegilaan peminat apabila membintangi drama bersiri bertajuk Pavitra Rishta pada 2013, sekali gus membuka pintu untuknya ke layar perak.
Filem debut Sushant, Kai Po Che! pada tahun sama berjaya menempatkan anak kelahiran Bihar itu sebaris nama hero Bollywood generasi baharu lain seperti Ranveer Singh dan Rajkumar Rao.
Tidak memiliki latar belakang keluarga seni, Sushant membina kerjayanya tanpa sebarang bantuan nepotisme, sebaliknya bersandarkan bakat semata-mata.
Meskipun mengakui kewujudan nepotisme atau amalam pilih kasih karyawan Bollywood, Sushant hanya mampu menelan kenyataan tersebut.
“Saya harus belajar hidup dengan isu nepotisme jika mahu mengekalkan karier di Bollywood. Nepotisme berlaku di mana sahaja dan tidak boleh dielak,” katanya dalam satu temu bual ketika Festival Filem Antarabangsa India (IIFA) pada 2017.
Amalan nepotisme bermaksud kecenderungan memberikan tawaran atau peluang kepada ahli keluarga terdekat.
Jika di Bollywood, kebanyakan artis legenda mengekalkan legasi seni menerusi anak cucu yang turut mengikut jejak langkah bergelar pelakon.
Kematian Sushant yang dianggap mengejutkan, secara tidak langsung membangkitkan kemarahan peminat dan isu nepotisme kembali menjadi topik perbualan hangat.
Apabila nama-nama besar Bollywood seperti Sonam Kapoor, Karan Johar dan Aliaa Bhatt meluahkan rasa simpati mereka terhadap pemergian Sushant, peminat mengkritik golongan tersebut sebagai hipokrit.
Tambahan pula, Karan dan Aliaa sebelum ini yang pernah memperkecilkan mendiang secara terbuka serta membuat gurauan tentang kehadiran Sushant dalam industri Bollywood.
Menerusi rancangan Koffee With Karan, sebuah program hiburan kendalian Karan Johar, dua nama besar itu pernah membuat kenyataan bahawa tidak mengenali Sushant apabila ditanya pendapat berkenaan bakat mendiang.
“Siapa Sushant Singh Rajput? Saya tidak boleh komen kerana tidak pernah mendengar namanya,” ujar wanita berusia 27 tahun itu sambil tertawa.
Aliaa merupakan anak kepada pengarah filem tersohor Bollywood, Mahesh Bhatt dan aktres, Soni Razdan.
Sonam Kapoor yang pernah menyifatkan kematian Sushant tidak patut dikaitkan dengan kerjaya lakonan juga diselar peminat. Aktres itu turut diingatkan dia tidak lebih sekadar produk nepotisme.
“Apabila ada sahaja individu yang bunuh diri, pasti masyarakat akan menuding jari kepada teman wanita, bekas teman wanita, rakan-rakan sekerja atau situasi kerjayanya. Itu satu tindakan yang tidak berhati perut,” memetik tulisan Sonam menerusi Twitternya, 24 jam selepas Sushant ditemui mati.
Dihentam netizen
“Jika bapa awak bukan Anil Kapoor, mana mungkin awak berjaya memenangi 10 anugerah daripada 12 filem yang dilakonkan. Bahkan, anda hanya boleh membuktikan kehebatan sebenar anda menerusi sebuah sebuah filem iaitu Neerja,” luah seorang peminat dalam laman Twitter berhubung kenyataan Aliaa.
Secara jujurnya, tiada siapa mengetahui punca sebenar di sebalik tindakan drastik bintang filem Drive itu menggantung diri.
Biarpun begitu, siasatan awal polis mengemukakan, sebelum kematiannya bekas pelajar Kejuruteraan Mekanikal di Delhi College of Engineering itu sudah enam bulan menjalani rawatan psikiatri bagi masalah tekanan perasaan.
Namun Sushant tidak pernah mengambil sebarang ubat antidepresi. Hakikatnya, sudah enam bulan bergelut dengan tekanan perasaan tetapi tiada siapa yang tahu atau peduli tentang situasi tersebut.
Perkara tersebut menjadikan kematian Sushant suatu kehilangan besar buat dunia Bollywood. Lebih memilukan, Perdana Menteri India, Narendra Mohdi turut menzahirkan rasa sedih atas kejadian tersebut.
Untuk membina kerjaya dan nama di Bollywood tanpa sebarang latar belakang keluarga seni bukan satu perkara mudah, namun Sushant ialah antara anak seni yang berjaya melakukannya.
Sepatutnya pada tahun ini, sebuah filem Sushant yang dijangka pecah panggung bakal ditayangkan iaitu Dil Bechara, sebuah karya adaptasi dari Hollywood, The Fault In Our Stars.
Sayang seribu kali sayang, usaha keras Sushant terhenti pada saat namanya berada di puncak dan bakatnya diakui ramai.
Buktinya, saat treler Dil Bechara mula ditayangkan baru-baru ini, aktres Sushmita Sen dan Priyanka Chopra memberikan ekspresi kagum terhadap Sushant.
“Saya dapat rasakan dia memiliki kekuatan emosi yang luar biasa di dalam mahu pun di belakang tabir,” tegas Sushmita.
Hakikatnya, industri perfileman Bollywood telah kehilangan pelakon pelapis berintegriti yang berjaya membuktikan walau tanpa pangkal nama Khan, Kapoor, Bhatt atau Khanna, dia mampu menggegarkan layar perak India.