Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
Sediakan studio latihan, gilap bakat-bakat baharu e-Sukan negara
ANAK muda ini pernah menolak tawaran untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Pengurusan Pejabat di peringkat Sarjana semata-mata ingin menumpukan perhatian terhadap bidang sukan elektronik atau e-Sukan.
Hampir menyesali tindakannya itu, Muhammad Harith Farhan Zakaria, 26, atau Harith bagaimanapun kini berupaya untuk tersenyum dan semakin yakin dalam mengorak langkah meskipun mengakui pembabitannya dalam e-Sukan ketika ini masih lagi dianggap umpama ‘setahun jagung’.
Menceritakan semula detik awal pembabitannya dalam e-Sukan, Harith berkata, tidak seperti kebanyakan individu lain yang bermula sebagai pemain, dia sebaliknya bermula sebagai caster atau pengulas permainan sebelum menjadi seorang pemain.
Menurut Harith yang juga Presiden Persatuan E-Sukan Daerah Seberang Perai Selatan, selain bermain dan mengulas, dia juga berpengalaman secara tidak langsung dalam mengendalikan beberapa kejohanan berkaitan sebelum memilih untuk terjun ke dalam dunia pengurusan e-Sukan yang lebih mencabar.
Katanya, cabaran yang dihadapi dalam bidang pengurusan lebih membuka mata dan banyak mengajarnya akan selok-belok sebenar dalam dunia e-Sukan.
Selain itu, kata Harith, berkecimpung dalam dunia tersebut juga memperlihatkan hala tuju sebenar yang diinginkannya dalam bidang itu pada masa depan.
HARITH (tengah) bersama dua rakannya yang berkongsi minat sama iaitu Muhammad Zarif (kiri) dan Meor Muhammad Akmal meskipun memiliki latar belakang pendidikan berbeza.
Ketika ini, Harith bersama dua rakan seperjuangannya iaitu Muhammad Zarif Zaimi, 26, dan Meor Muhammad Akmal Azahari, 24, sedang membangunkan sebuah studio khusus untuk sukan itu yang dikenali sebagai Harith Brothers Studio di Taman Pekaka, Nibong Tebal.
“Studio itu kini hampir 80 peratus siap dan sepatutnya, ia boleh disiapkan lebih awal tapi terpaksa ditangguhkan kerana PKP (perintah kawalan pergerakan).
“Antara perkhidmatan yang bakal kami tawarkan di studio ini ialah menyewa permainan video PS4 (PlayStation 4), menyewa peralatan semasa mengendalikan acara e-Sukan dan beberapa perkhidmatan yang berkaitan,” ujarnya.
KEADAAN Harith Brothers Studio yang masih dalam proses pengubahsuaian sebagai pusat e-Sukan.Walaupun berkongsi minat yang sama, ketiga-tiga mereka sebenarnya datang dari latar belakang pendidikan berbeza kerana Muhammad Zarif merupakan graduan lulusan multimedia, manakala Meor Muhammad Akmal pula mengkhusus dalam bidang hartanah.
Bagaimanapun, perbezaan itulah sebenarnya mengeratkan hubungan mereka terutamanya dalam menguruskan studio tersebut yang dibangunkan dengan menggunakan modal sendiri buat masa ini.
“Impian kami ialah ingin melihat studio ini menjadi pusat e-Sukan untuk melatih dan menggilap bakat-bakat baharu dalam bidang ini.
“Pada masa sama, studio ini juga diharap dapat menjadi medan latihan kepada pemain (atlet) yang akan beraksi pada Sukma (Sukan Malaysia) selepas ini,” ujar Harith yang berkemungkinan akan menyertai skuad e-Sukan Sukma Pulau Pinang ke Johor sebagai wakil pengurusan pasukan. – K! ONLINE