LIVERPOOL – Penyokong Liverpool wajar untuk berasa tidak tenang selepas pemain sayap, Mohamed Salah mengakui tidak pasti mengenai masa depannya di Anfield.
Berada di penghujung saingan 2019/20, The Reds mampu berbangga apabila mengumpul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia FIFA dan Piala Super UEFA.
Salah menjadi tonggak utama pasukan itu selepas berhijrah dari AS Roma pada 2017 dan dia sudah menjaringkan 94 gol dalam 151 penampilan setakat ini.
“Buat masa ini, saya mahu nikmati kejayaan bersama Liverpool. Berhubung masa depan, tidak ada sesiapa yang tahu, jadi kita tunggu dan lihat apa akan berlaku.
“Kami memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana, jadi saya sangat gembira sekarang. Saya tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, namun trofi-trofi ini sangat bermakna untuk saya,” kata Salah.
Pada masa sama, pemain antarabangsa Mesir itu juga memuji peranan pengurus, Jurgen Klopp yang mengubah Liverpool kembali menjadi pasukan digeruni.
“Sejak Klopp datang ke sini, perkara pertama yang beliau ubah adalah mentaliti pasukan. Beliau berjaya terapkan mentaliti juara ke dalam diri setiap pemain,” ujarnya. – AGENSI