MADRID, SEPANYOL – YouTuber Perancis, Leo Urban nekad memanjat sebuah bangunan hotel setinggi 31 tingkat tanpa menggunakan sebarang alat bantuan keselamatan di bandar raya Barcelona, Rabu lalu.
Menurut akhbar Daily Mail, sebuah dron digunakan untuk merakam aksi cemas Urban memanjat bangunan setinggi 116 meter itu.
“Saya menunggu selama tiga tahun dan kerap berlatih sebagai persediaan untuk memanjat bangunan hotel ini.
“Saya juga berlatih seni parkour dengan berkaki ayam selama kira-kira 15 tahun. Saya berlatih di kawasan gunung-ganang,” ujarnya.
Urban mengambil masa kira-kira satu jam untuk memanjat hingga ke tingkat paling atas bangunan tersebut sebelum ditahan polis yang menunggunya di atas bumbung hotel.
Mengulas aksi lelaki tersebut, Dewan Bandar Raya Barcelona menyatakan bahawa bangunan hotel itu tidak mengalami sebarang kerosakan dan ia masih ditutup kepada umum berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Urban tetap disaman kerana kesalahan menerbangkan dron di pusat bandar tanpa permit.
Dia pernah memanjat sebuah bangunan pencakar langit setinggi 144 meter di wilayah Catalonia pada November tahun lalu tanpa sebarang peralatan keselamatan.
Namun, bangunan paling tinggi yang pernah dipanjatnya ialah Menara Eiffel di Perancis setinggi 276 meter pada 2015. – AGENSI