PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan warga Bangladesh yang dikehendaki, Md. Rayhan Kabir ditangkap pada pukul 5.45 petang semalam di Setapak, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kejayaan tangkapan lelaki itu adalah hasil risikan dan buruan berterusan Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya selama dua minggu.
“Warganegara Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini untuk selama-lamanya.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai-pegawai terlibat di atas usaha dan komitmen mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan lelaki itu ditahan kira-kira pukul 6 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Md. Rayhan Kabir diburu pihak polis selepas membuat dakwaan migran di Malaysia dilayan seperti haiwan.
Dia membuat dakwaan itu ketika ditemu bual oleh stesen penyiaran Al Jazeera.
Menerusi dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown, Md. Rayhan Kabir mendakwa wujud diskriminasi di Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 membabitkan warga asing. -K! ONLINE