Oleh M. RIZAL NOR
KUALA LIPIS – Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 22 Jalan Sungai Koyan-Ringlet di sini hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu ialah seorang anggota tentera laut, Muhammad Shakirin Salimi, 20, dan seorang lelaki Orang Asli, Saiful Rasif, 21.
Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd Nor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan anggota tentera dalam perjalanan pulang bercuti dari Lumut, Perak, menuju ke Kuala Lipis.
“Apabila sampai ditempat mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 LC telah bertembung secara berdepan dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 125 ZR yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan ini menyebabkan kedua-dua penunggang maut di tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering. – K! ONLINE.