PADA kurun ke-19, bola sepak menjadi sukan yang sangat popular di Britain dan ketika itu ia dimainkan oleh para pekerja buruh yang menggunakan kasut kerja yang mempunyai besi di bahagian hadapan (steel toe) dan sangat berat.
Selain itu, but yang wujud ketika itu diletakkan stud di bawah tapak kasut supaya pemakainya lebih stabil tetapi kemudiannya ia melalui proses evolusi di mana ia direka dengan lebih nipis tetapi masih berat untuk sesebuah but dengan anggaran 500 gram dan beratnya bertambah sekali ganda apabila bermain dalam keadaan padang basah.
Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, reka bentuk dan keistimewaan but bola sepak ditambah baik sehinggalah kini terdapat pelbagai jenis dan warna yang cukup menarik untuk pilihan pemakainya.
Kolum Fakta Sukan Kosmo! kali ini menyenaraikan 10 but bola yang menjadi ikon sepanjang zaman dan terus menjadi pilihan bintang-bintang dunia untuk beraksi di padang sebelum ia menjadi popular dalam kalangan peminat.
ADIDAS F50
KELUARAN: 2004
IKON: Arjen Robben
PEMAIN BINTANG: Hernan Crespo, Ashley Cole, Bastian Schweinsteiger, Lukas Podolski, Simao
VERSI TERKINI: F50 Adizero Prime
Perkara pertama yang anda akan perasan apabila melihat kasut ini adalah ia tidak mempunyai lidah (unjuran fabrik di bahagian tengah) yang menjadikannya kelihatan sebagai satu revolusi baharu untuk kasut bola. Ia merupakan but bola pertama yang tidak mempunyai ‘lidah’ sekali gus pencetus kepada reka bentuk but yang ada ketika ini.
NIKE AIR ZOOM
TOTAL 90 II
KELUARAN: 2002
IKON: Luis Figo
PEMAIN BINTANG: Roberto Carlos, Wayne Rooney, Edgar Davids, Patrick Kluivert, Paul Scholes, Marc Overmars
VERSI TERKINI: Total 90 Laser III
Rekaan but berkenaan serta namanya menggambarkan bahawa para pemain yang memakainya bakal menikmati perasaan selesa sepanjang 90 minit aksi tanpa kehilangan kekuatan dan tumpuan selain penampilan bahagian ‘lidah kasut’ yang dianggap berevolusi ketika itu.
PUMA V1.06
KELUARAN: 2006
IKON: Samuel Eto’o
PEMAIN BINTANG: Peter Crouch, Mauro Camoranesi, Freddie Ljunberg, Emmanuel Eboue, Yaya Touré, Seydou Keita, Aliaksandr Hleb
VERSI TERKINI: Puma V1.11
But ini kelihatan tidak banyak berbeza dengan apa yang ada ketika ini tetapi sewaktu dilancarkan pada 2006, ia sangat menakjubkan dari aspek reka bentuk dan lebih ringan sekali gus menjadi pelopor kepada revolusi berkenaan. Lebih istimewa, Puma V1.06 menjadi kasut bola paling ringan pernah dihasilkan ketika ia mula dipakai oleh para pemain yang beraksi pada saingan Piala Dunia 2006 di Jerman.
ADIDAS F50 ADIZERO
KELUARAN: 2010
IKON: Lionel Messi
PEMAIN BINTANG: Arjen Robben, Nani, David Villa, Dani Alves, Edinson Cavani, Diego Forlán, Luis Suarez, Karim Benzema, Javier Pastore, Ezequiel Lavezzi, David Silva, Samir Nasri, Thomas Müller, Lukas Podolski, Gareth Bale
VERSI TERKINI: F50 Adizero Prime
Faktor utama menjadikan but ini sangat popular dalam kalangan pemain terkenal dunia adalah kerana rekaannya membolehkan mereka mengoptimumkan kepantasan.
Kasut yang ringan menyebabkan pemain merasakan seolah-olah tidak mengenakan sepatu ketika bermain sekali gus menyebabkan model ini terus kekal segar di pasaran.
PUMA KING
KELUARAN: 1970
IKON: Pele
PEMAIN BINTANG: Eusebio, Johan Cruyff, Diego Maradona, Lothar Mattheus, Paul Gascoigne, Didier Deschamps, Mikel Arteta
VERSI TERKINI: Puma King XL
Kejayaan Puma menghasilkan but ini menyebabkan syarikat berkenaan mula berkeyakinan untuk bersaing dengan musuh utama mereka, Adidas. Kehadiran model King ini membolehkan Puma mengorak langkah dengan menaja beberapa bintang dunia ketika itu. Pele yang merupakan pemain terkenal ketika itu, memilih model berkenaan sekali gus melonjakkan jenama berkenaan.
ADIDAS COPA MUNDIAL
KELUARAN: 1979
IKON: Franz Beckenbauer
PEMAIN BINTANG: Mario Kempes, Michel Platini, Paolo Rossi, Berti Vogts, Karl Heinz-Rummenigge, Franco Baresi
VERSI TERKINI: Copa Mundial
Diiktiraf sebagai but paling laris sepanjang zaman, Copa Mundial masih dijual sehingga kini biarpun sudah lebih 40 tahun berada di pasaran. Diperbuat daripada kulit kangaroo menjadikannya antara but yang ringan membolehkan pemakainya beraksi lebih pantas dan versatil.
NIKE AIR MERCURIAL
KELUARAN: 1998
IKON: Ronaldo
PEMAIN BINTANG: Thierry Henry, Roberto Carlos, Denilson
VERSI TERKINI: Mercurial Superfly
Bekas bintang Brazil, Ronaldo mungkin antara pemain yang sangat bertuah apabila Nike mencipta but ini khas berdasarkan kemampuannya. Air Mercurial ini menukar pesona but bola kepada yang lebih ringan serta reka bentuk yang mengutamakan kepantasan yang mana ia tidak disedari sebelum itu oleh pemain-pemain industri.
NIKE MERCURIAL VAPOR SL
KELUARAN: 2008
IKON: Cristiano Ronaldo
PEMAIN BINTANG: Didier Drogba, Theo Walcott, Aaron Lennon, Nani, Zlatan Ibrahimovic, Robinho, Dani Alves
VERSI TERKINI: Nike Superfly III
Keputusan Nike menggunakan bahan karbon fiber di dalam pembuatan but ini membolehkannya menjadi but paling ringan pernah dihasilkan dalam sejarah.
Menampilkan Cristiano Ronaldo sebagai duta produk, model ini tidak sukar menembusi pasaran dengan berjaya, malah beberapa jenama utama masih bersaing untuk menandingi beratnya yang berjumlah 185 gram sahaja.
MIZUNO WAVE CUP
KELUARAN: 1997
IKON: Rivaldo
PEMAIN BINTANG: Aldair, Pablo Aimar, Thiago Motta, Roque Santa Cruz
VERSI TERKINI: Wave Ignitus II
Menjadi pemain hebat seperti Rivaldo pastinya bukan mudah buatnya untuk memilih Mizuno sebagai penaja utama ketika jenama berkenaan tidak begitu tersohor.
Namun, kehadiran model Wave Cup membuatkan bekas bintang Brazil itu tidak menyesal membuatkan keputusan tersebut. Apa yang membuatkan Wave Cup termasuk dalam senarai ini adalah kerana reka letak ‘stud’ yang kemudiannya menjadi ikutan jenama-jenama utama.
ADIDAS PREDETOR
KELUARAN: 1994
IKON: Zinedine Zidane
PEMAIN BINTANG: Raúl, Kaká, David Beckham, Xavi, Patrick Vieira, Xabi Alonso, Alessandro Del Piero, Rui Costa
VERSI TERKINI: Predator Adipower
Model Predator boleh dianggap sebagai but yang sesuai untuk gaya permainan bola sepak moden.
Maka, tidak hairanlah ia menjadi model paling laris sehingga kini.
Idea disebalik pembikinan but model ini adalah mengutamakan kuasa tendangan serta kemampuan pemain menghasilkan sepakan mengelirukan.