COMO, Itali – Mario Balotelli dilaporkan sedang berunding dengan kelab Serie C, Como yang dimiliki oleh jutawan Indonesia, Robert Budi Hartono.
Budi Hartono yang dianggarkan memiliki kekayaannya mencecah £14 bilion (RM75.99 bilion) mempunyai perancangan untuk membawa Como melonjak ke saingan Serie A dan merasakan Balotelli, 29, adalah individu yang mampu memastikan kejayaan tersebut.
Bekas penyerang Manchester City dan Liverpool itu tiada masalah untuk menjadi sebahagian daripada projek jangka masa panjang kelab divisyen ketiga Itali tersebut kerana dia akan ditamatkan kontraknya dengan pasukannya ketika ini, Brescia.
Ketua Pegawai Eksekutif Como, Michael Gandler mengakui, perbincangan antara pihaknya dengan wakil Balotelli sedang berjalan dalam mencari kata persetujuan secepat mungkin.
“Kami tidak akan membuang duit begitu sahaja kerana matlamat kami adalah Serie A. Falsafah perniagaan kami ialah tidak membeli nilai tetapi kami menciptanya.
“Kami adalah satu-satunya pasukan yang membelanjakan kurang daripada 50 peratus bajet kami untuk pemain. Biasanya pasukan-pasukan lain akan berbelanja 80 hingga 90 peratus,” katanya.
Walaupun Como mempunyai pemilik jutawan tetapi cabaran terbesar mereka adalah berunding dengan Balotelli dari segi jumlah bayaran gaji bulanannya yang dikatakan agak tinggi. – AGENSI